Friday, August 16, 2013

Damai Yang Hilang


 Medan Rabaah merupakan sebuah potret yang menceritakan tentang perjuangan ibu yang kehilangan anaknya. Isteri yang kehilangan suaminya. Rakyat yang kehilangan Presidennya. Manusia yang kehilangan haknya. Undang - undang yang kehilangan legitimasinya. Demokrasi yang kehilangan identitinya.

Ini kisah tentang manusia, darah, dan air mata. Tentang kegagalan kuasa dunia berbicara tentang keadilan dan hak asasi manusia. 

Di saat getir berlaku kini di Mesir, suka saya berkongsi pandangan seorang anak muda (pelajar perubatan di Universiti Iskandariah) yang menyaksikan momen-momen yang mendebarkan di Mesir, beliau melihat sisi pandang dari kaca mata anak muda yang semestinya berjiwa besar, jelas visi dan misi, jelas fikrah dalam menyokong kebenaran dan keadilan, jelas apabila melihat pertembungan demi pertembungan di antara haq dan kebatilan.

Teringat antara mata-mata keramat al Syahid Sayyid Qutb, pertembungan akan sentiasa berlaku, "al sira' al mustamir" sebagai suatu realiti yang sentiasa berlaku di setiap zaman tanpa henti, rakaman Qasas al Anbiya' juga memandu para penyokong kebenaran untuk kekal yakin dengan janji-janji Allah bahawa kebenaran sentiasa bangkit sekalipun di injak-injak di tapak kaki para penzalim. 

Dari kejauhan, titipkan doa dan munajat kita untuk sama-sama menyokong ikhwanuna fi Misr, luka mereka luka kita juga, derita mereka, kita juga merasai kesakitannya.

Ayuh syabab! Tingkatkan doa qunut nazilah buat mujahidin di Mesir. 

Ya Qahhar Ya Jabbar Ya Muntaqim.

DI SEBALIK PELURU-PELURU HIDUP

Sejarah hari ini melihatkan satu detik paling pilu yang di pamerkan di mata dunia.Bertalu-talu info yang dirakamkan mengenai serangan yang dilakukan pihak tentera Mesir,pihak polis serta kumpulan-kumpulan samseng yang menyerang kumpulan Pro-Mursi. Kelihatan isu ini menjadi perhatian oleh semua-ramai yang mengatakan kepiluan,kesedihan,kebencian,kemarahan terhadap apa yang berlaku kepada mereka.

Hati ini juga tidak dapat diterjemahkan ertinya.Detik-detik masa yang dilalui ketika di Mesir membuat saya perlu menghadami betul-betul erti sebuah peristiwa dan momen-momen yang berharga mendampingi masyarakat setempat di Mesir.

Saya lebih tercetus untuk membualkan praktikaliti dalam menyambut sesebuah peristiwa.Ianya bukan mainan status kesedihan,mahupun ekpresi kemarahan semata-mata,namun ianya adalah sebuah episod kesedaran bagi mereka yang menyaksikan.

PELAJARI ERTI PERSEDIAAN/PERSIAPAN 

Cerita -cerita yang berlaku di Mesir membuktikan setiap hidup kita memerlukan persediaan yang rapi dalam menempuh pelbagai rintangan. Pengertian 'persediaan' hanya difahami bagi mereka yang sedar dan juga mempunyai agenda yang jelas dalam hidup. Saya lebih cenderung untuk memperuntukkan nota ini kepada para pemuda yang dasarnya mereka inilah mengukirkan episod-episod berharga dalam menjayakan banyak misi perjuangan (seperti juga berlaku di Mesir yang rata-ratanya digerakkan oleh tenaga pemuda)

Menjadi seorang pemuda yang hebat, mereka perlukan persedian yang berterusan sebelum mereka bertempur. Kita ratapilah diri kita sejauh mana kita mampu bersedia seperti pemuda-pemuda di Raba’ah,Suez,Mansurah,Iskandariah dalam menghadapi bebanan ini.Hampir 1 bulan mereka berkumpul untuk menyatakan perjuangan mereka.Pemuda-pemuda ini sudah bersedia menempuh sebarang kemungkinan hatta nyawa sekalipun.

Pemuda-pemuda ini bermula dengan mencacakkan agenda hidup mereka untuk mengangkat kalimah Allah di muka bumi ini,lantas mereka menolak segala sisa-sisa nafsu mereka daripada segala sampingan-sampingan yang melalaikan.Mereka tidak berjam-jam mengabiskan masa untuk bergaming,facebook,menonton filem,drama,berfantasi jenin,bercakaran hujah sisipan ataupun melontarkan angan-angan dalam dengkuran mimpi- kerana mereka ingin buktikan praktikaliti sebuah perjuangan hakiki adalah melalui persedian fikiran/fahaman yang jelas,diri yang segar serta hati yang bersih dalam kerangka untuk menjadi seorang syuhada yang dipilih Allah.


Ayuh kita benamkan nota-nota persedian/persiapan ke dasar bumi agar omongan kita adalah omogan syahadah yang hakiki.Jadilah pemuda yang sedar akan serangan musuh yang melupakan kita dengan identiti sebagai seorang yang bergelar hamba yang mempunyai risalah Allah tuhan yang ESA.

PELAJARI ERTI PERTEMBUNGAN
Pertembungan akan sentiasa berlaku dalam diri kita. Ketika ingin menyebut erti persiapan, kita bakal mengharungi satu pertembungan sengit antara kehendak diri dan kehendak Allah. Ianya akan terus berlaku. Di sini teruji di mana kekuatan kita sebenarnya. Sifat pertembungan ini juga terlakar dalam episod perjuangan. Kebenaran akan sentiasa bertembung dengan kemungkaran/kejahatan.

Agenda Islam /risalah Allah pasti akan bertembung dengan mana-mana ideologi perjuangan selain daripadanya.Pembuktiannya di dalam sirah perjuangan Ar-Rasul sehinggalah kini.Detik-detik ini,saya melihat kesan-kesan pertembungan itu berlaku di Mesir.Mereka yang berada antara pertembungan ini merupakan tapisan automatik oleh Allah yang dipengakhirannya menemukan hanya 2 kumpulan iaitu Haq dan Batil. Sudah tentu yang membawa panji Islam secara jelas dan tanpa kesamaran yang bercampur-baur daripada sempadan sekular,sosialis,liberalis serta kesongsangan akidah merupakan mereka yang benar dan Haq.Maka selebihnya adalah mereka yang cuba memadamkan cahaya-cahaya Allah dengan tangan-tangan mereka sendiri.

Saya mengambil satu lintasan yang saya pegang dan yakini dari dulu sehingga sekarang bahawasanya dalam kita ikhlas berjuang kita akan berjumpa dengan pelbagai medan dan lapangan,ada mungkin ianya berlainan dengan cara kita,namun yakinilah bahawa pada hujungnya kita akan dilengkapkan oleh Allah dalam saf yang satu.Maka peliharalah ikhlas kita,lapangkan dada,optimis serta kita berdoa agar dijauhkan oleh Allah daripada kita tertapis daripada saf-Nya.Di situlah pertembungan sebenarnya akan berlaku.

PELAJARI ERTI KEMENANGAN 

Saya pernah bertanya kepada seorang teman, adakah Ikhwan Muslimin akan menang suatu hari nanti? Dia tersenyum lantas menjawab, " Insha Allah, kemenangan Allah itu dekat". Sesungguhnya tiada erti kemenangan bagi seseorang hamba itu selain dia memerdekakan dirinya daripada hawa nafsu yang membataskan gerak-geri kita.
Hakikat kemenangan sebenarnya bukanlah bererti berjayanya menawan sesebuah negara ataupun telah membunuh beratus-ratus ribu orang.Kejayaan dan kemenangan sebenarnya ialah bagaimanakah kita sedari bahawa kita adalah sebagai hamba yang berusaha dengan kemampuan yang kita ada dalam menjadi seorang yang benar-benar mengangkat kalimah Allah dalam diri kita,keluarga kita seterusnya anggota masyarakat kita.

Ingatlah kita bukan penentu kemenangan kerana hujan kemenangan bukanlah hasil ramalan kita namun adalah kuasa Allah yang melimpahkan kepada kita setelah kita mengauli kesabaran dan istiqomah dalam perjuangan ini.

Maka inilah bingkisan nota untuk sama-sama kita menghadiahkan diri kita kepada seluruh Muslimin di dunia dengan melakukan anjakkan iman dan taqwa dalam diri kita

"Allahummansuril islamawal muslimin fi masr,suria wa falestin wafikullimakan wafikullizaman"

Wallahualam

Abdul Rahman D 2013


Keamanan di Malaysia kian tercalar dengankejadian tembak-menembak mutakhir ini. Wirid keselamatan bekalan dari tamrin qiyadi tempoh hari menjadi teman setia disaat ini. Moga istiqomah untuk dibaca setiap kali usai mathurat. Hasbunallah wani'mal wakeel, Ni'mal Mawla Wani'man Nashir. Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

Saturday, August 3, 2013

Taqwaporosis

Barangsiapa yang beribadat kerana Ramadhan, sesungguhnya Ramadhan meninggalkan kita tetapi barangsiapa beribadat kerana Allah, ingatlah Allah sentiasa bersama-sama kita. Pesan khatib hari ini benar menyentuh dhamir yang paling dalam.

pabila khatib menyeru sidang jumaat bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa saya tidak dapat menahan bendung air mata. lacrima gland terus pecah.

Saya masih menghitung diri. Apakah marhalah ini sudah dicapai?

sesungguhnya, Ramadhan adalah madrasah mencari taqwa.

hari jumaat, penghulu segala hari. Bertambah mulia dengan kehadiran ramadhan dan keberadaan di sepuluh malam terakhir.Begitu bersungguh khatib berpesan supaya memburu lailatul qadar. Malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Usai solat jumaat mushaf agung kutarik perlahan dari para, berkira-kira menyambung juzuk berbaki ramadhan tahun ini.

Bismillah,lembaran pertama Surah al Dukhan.

Subhanallah wabihmadihi, subhanallahal azim.

Allah Allah. Air mata kembali tumpah basah sesampai ayat ke 3

Jumaat terakhir ramadhan tahun ini.

Taraweh terakhir bersama Imam Mesir ini

Mabit terakhir di masjid Sultan Ismail

…dan memburu taqwa kerana mengharap maghfirah dan redha Allah tak akan berakhir

Lailatul qadar segala-galanya bukan matlamat. Ia adalah alat untuk mencapai taqwa.

Sesungguhnya,kita adalah musafir dunia yang mengembara mencari secangkir cinta Pencipta yang dirinduinya. Mudahan nilai taqwa yang dicapai tidak akan poros pabila berakhirnya madrasah Ramadhan ini.




Friday, July 26, 2013

Bicara Ramadhan




Untuk kesekian kalinya kita bersama-sama dalam iftar jama’iyy yang diisi dengan sedikit tazkirah mengenai kebesaran Ramadhan, memaknai Ramadhan sebagai satu proses tarbiyyah bagi kader gerakan Islam yang tentu saja menyikapi Ramadhan secara yang sangat istimewa; tidak seperti orang awam menyikapi Ramadhan. Seperti yang sama-sama kita maklumi, Ramadhan juga disebut ‘syahrul Quran’ – bulan Quran – bulan yang mana kita akrab dengan al Quran – yang Tuhan menyebut tentang golongan yang akrab dengan al-Quran itu dalam ayat 79 Surah Ali Imran,

A079 

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.  
 
Mempelajari dan memasyarakatkan al Quran, itulah kerja kaum rabbaniyyin. Siapa pula rabbaniyyin ini – datangnya dari istilah rabbaniyy yang mengakar dalam surah ini, dan ditafsirkan oleh al-Ghazali sebagai manusia yang dekat dengan Allah – qariban; yang dulu-dulu ketika kita masih muda – kita menggunakan ungkapan “al-jilul rabbaniyyul multazim – generasi rabbaniyy yang komited – manusia rabbaniyy yang akrab dengan Allah – melakukan taqarrub atau menghampirkan diri dengan Allah – dan kedekatan tersebut mencapai martabat rabbaniyy dengan erti dekat dengan Allah – iaitu manusia yang mencitrakan dirinya dengan sifat-sifat Allah, sejauh yang tercapai sesuai dengan sifat keinsanannya.

Asma-ulhusna bukan sekadar sebuah nasyid, tetapi mengandungi nilai-nilai yang harus dihayati oleh kehidupan insani – dalam erti dekat dengan Allah – manusia yang menghayati sifat ketuhanan dalam batas dan kudrat keinsananannya. Itulah yang dimaksudkan berakhlak dengan akhlak Allah – dan akhlak Allah itu ialah nama-namaNya seperti yang tersenarai dalam asma-ulhusna itu. Apabila disebut bahawa akhlak Ar-Rasul junjungan kita adalah al-Quran bererti Rasulullah s.a.w. itu adalah Quran hidup – di mana penghayatan sifat-sifat keindahan Allah itu pada dirinya – kerana tidak ada halaman al-Quran yang tidak ada nama Allah – malah kadang-kadang dalam satu ayat disebut berkali-kali nama Allah – yang paling banyak nama Allah ialah ayat kursi. Jadi apabila ar-Rasul s.a.w berakhlak dengan akhlak al-Quran, antaranya bermaksud menghayati nama-nama Allah yang disebut dalam al- Quran itu. Biasanya al-Quran apabila menyebut sesuatu tema, ayat itu akan menyimpul dengan misalnya “innahualimunhakim” – yakni dikunci dengan nama-nama Allah yang harus dihayati dalam batas kemanusiaan –menjadi manusia rabbaniyy dan sekaligus manusia Qur’aniyy. 

Demikianlah asmaulhusna sebagai sumber nilai pembentukan manusia peribadi rabbaniyy – makhluk yang mencerminkan fitrah ketuhanan – image of God – menyebut Tuhan menciptakan Adam menurut imejnya. Pada diri manusia itu ada imej ketuhanan, apabila dia menghayati sifat-sifat Tuhan dalam batas kemanusiaan. Apakah boleh demikian? Nabi diterangkan begitu – misalnya dalam Surah at-Tawbah ayat 128, “Sungguh, telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan yang kamu alami, (dia) sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman,”(Ra-u-funRahim), jelas-jelas Ra-u-fun Rahim itu nama Tuhan, tetapi yang memakainya dalam ayat ini ialah Rasul, ertinya Tuhan mengiktiraf Ar-rasul telah menghayati sifat Rauf dan Rahim dalam batas kemanusiaan. Itulah manusia sebagai pembawa the image of God, citra ketuhanan. Para ulama Islam ketika membahas persoalan ini, seperti Qadhi Abu Bakar ibnu Arabiyy – ketika beliau menyebut tentang manusia sebagai makhluk “ahsanitaqwim” – sebaikbaik kejadian – ketika mengupas maksud tafsiran manusia itu adalah sebaik-baik kejadian – katanya, manusia itu sejatinya mempunyai sifat mendengar, berkata-kata, berilmu, bijaksana dsbnya, dan bahawa semua ini adalah sifat-sifat Tuhan yang dikurniakan kepada manusia dalam batas kemanusiaannya. Itulah maksud Allah menciptakan Adam menurut imejnya.

Demikian juga seperti disebut oleh Abdul Karim Jili dalam kitabnya, bahawa sifat-sifat Allah swt seperti hayyan, samian, basiran, qadiran – dihujungnya disebut , “demikian jugalah insan – manusia ini dalam batas kemanusiaan adalah pembawa citra ketuhanan. Oleh yang demikian, jangan kita mentertawakan nama-nama Jawa seperti Basiran, Samian, Qadiran, sebab walaupun Samian itu misalnya, nama tuhan, tetapi manusia juga harus punya sifat itu dalam batas kemanusiaan. Sekarang baru tahu kenapa orang Jawa suka nama-nama seperti itu; selama ini kita berdosa mentertawakan mereka.

Saya angkat persoalan ini dalam konteks memahami al-Quran sebagai kekuatan transformatif yang menakjubkan, dan ini sangat relevan ketika berlaku dehumanisasi yang berleluasa, yang menurut bahasa al-Qurannya ialah asfalasa filin – thumma radadnahu asfalasa filin- kemudian kami jadikan dia di kalangan makhluk bawahan – yang menurut bahasa sosiologinya ialah dehumanisasi – penghakisan nilai-nilai kemanusiaan hingga manusia hilang sifat kemanusiannya – hilang citra ketuhanan pada dirinya maka jadilah ia asfalasafilin – inilah fenomena yang kita hadapi sekarang iaitu berleluasanya dehumanisasi – asfalafilin – dan dalam konteks ini bagaimana al-Qur’an boleh dimanfatkan sebagai kekuatan transformatif, iaitu kekuatan perobah – melihat daya robah al-Quran dalam mencipta manusia baru “a transformed-man”. Selalu orang membicarakan i’jaz al-Qur’an – kemukjizatan al-Quran dalam bidang bahasa, sains, perubatan tetapi yang jarang dibicarakan ialah mukjizat daya robah al-Quran; bagaimana al-Quran itu punya daya robah yang menakjubkan sehingga tiada manusia yang sekeras manapun yang tidak dihancurluluhkan oleh al-Qur’an. Kalau gunung yang pejal itu boleh runtuh dan luluh andainya al-Qur’an diturunkan kepadanya, apalah hati manusia.

A021

“Sekiranya kami turun al-Quran itu kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah kerana takut kepada Allah.”(al-Hasyr: 21) – batu sepejal batu gunung boleh pecah, apalah hati manusia.

Dalam peristiwa pengislaman Umar al-Khattab – setelah beliau membaca surah Ta-Ha, berlaku perobahan yang sangat dramatic. Selama ini Umar adalah musuh Islam yang paling ketat, permusuhannya itu dahsyat sekali – dan public opinion mengatakan tidak mungkin orang seperti Umar masuk Islam; malah kata mereka kaldai al-Khattab itu lebih mungkin masuk Islam daripada Umar. Ertinya, Umar akan masuk Islam kalau himarnya masuk Islam lebih dahulu – pandangan umum ketika public masih punya opinion. Tetapi i’jaztaghyir menafikan apa yang dipercayai oleh public opinion tersebut setelah Umar masuk Islam hanya dengan membaca beberapa ayat dari surah Ta-Ha – ayat yang meluluhkan hati Umar yang keras. Oleh yang demikian, selepas ini janganlah siapa-siapa cakap orang ini atau orang itu keras, kerana tidak mungkin dia lebih keras daripada Umar; janganlah cepat menyumpah orang sampai tujuh keturunan.

Untuk merealisasikan al-Qur’an sebagai mukjizat daya robah itu, kita harus menyikapi al-Quran dengan betul. Kalau sikap kita terhadap al-Qur’an tidak tepat, tidak mungkin kita dapat sesuatu yang bererti dari al-Qur’an. Orang dulu baca al-Qur’an; orang sekarang juga baca al-Qur’an; tetapi kenapa kesannya berbeza? Inilah fenomena yang disebut oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali bahawa generasi silam apabila mereka baca al-Qur’an, mereka ikut terangkat mencapai benchmark al-Qur’an, yakni mereka berusaha untuk mencapai standard al-Quran. Tetapi apabila kita membaca al-Qur’an, kita tidak melonjak mencapai standard al-Quran – bahkan sebaliknya kita perturun, merendahkan standard al-Qur’an itu
sama dengan kita. Bukan kita yang naik,tetapi al-Qur’an yang diturunkan. Bila disebutkan ayat-ayat tentang sifat orang beriman, bahawa untuk mereka disediakan syurga (seperti Surah Ali-Imran ayat 133 “Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa) kita hendaklah sedar bahawa kita masih sangat jauh dari memenuhi tuntutan ayat itu. Kita harus berusaha mencapai standard al- Qur’an yang tinggi, bukan merendahkannya, atau membawa al-Qur’an itu turun serendah tahap kita.


Orang dulu membaca al-Qur’an lebih banyak dari kita, tetapi kadang-kadang tidak pula mesti banyak; ada ketikanya mereka baca tidak banyak, sebatas beberapa ayat saja. Kalau kebetulan ketika itu, dia melintasi ayat yang dirasakan sangat touching, dan apabila dia menemukan ayat seperti itu, dia akan ulang, bahkan sampai semalaman; terpaku pada ayat yang sama dan tidak bergerak ke ayat yang lain. Itulah yang terjadi dalam pengalaman Khalifah Arrasyidin kelima – Umar Abdul Aziz yang terkenal dengan keakrabannya dengan al-Qur’an. Dia ‘amirulmukminin,seorang yang sangat sibuk, tidak seperti kita yang pura-pura sibuk sehingga tak sempat iftar jama’iyy. Umar Abdul Aziz, pentadbir yang sangat sibuk, tetapi dalam kesibukan itu, dia tak pernah dalam sehari tanpa membaca al-Qur’an. Pada hari yang paling sibuk, dia baca satu atau dua ayat (kalau tidak, dia baca satu surah atau dua surah), kemudian dia menyatakan, “Mudah-mudahan dengan menyempatkan diri membaca satu atau dua ayat ini, aku terkeluar dari golongan yang meninggalkan al-Qur’an. Ayat ini diambil dari al-Qur’an, kata-kata yang diucapkan ini, ialah apabila Nabi s.a.w. mengadu kepada Allah swt, “Bahawa sebahagian kaumku telah meninggalkan al-Qur’an.” Bagaimana kalau yang diadukan oleh Rasulullah s.a.w itu adalah kita, tak terfikirkah kita bahawa kemungkinan kita yang diadukan oleh Rasulullah itu kepada Tuhan – bahawa umatnya telah meninggalkan al-Qur’an. – Beliau sangat terkesan dengan ayat ini dan itulah yang membentuk sikapnya, terkesan dengan al-Qur’an sedang kita hanya tilawah dan tadabbur dan tahfiz tetapi kurang dalam aspek terkesan dengan al-Qur’an. Membaca al-Qur’an tak susah, terutamanya dalam tadarus orang Melayu yang dengan mudah saja khatam, apakah dia benar-benar khatam, tetapi daripada tidur tak tentu fasal, bacalah al-Qur’an. (Mentang-mentanglah apabila dikatakan bahawa orang yang berpuasa itu, tidurnya pun dikira ibadat, maka itu sajalah yang diambil buat pegangan.) Menghafal al-Qur’an pun tak susah sangat – yang susah itu mempertahankan hafalan tersebut, itu yang susah. Saya tak percaya setiap orang yang dipanggil al-hafiz itu betul-betul hafiz; kalau tak ada disiplin, tengok raja lawak. Seorang hafiz kena disiplin, kalau dia kompromikan, habislah hafalannya. 

Itulah yang terkesan pada diri Umar Abdul Aziz. Tetapi, untuk beliau bukan hanya ayat itu. Satu kali dia membaca tentang senario hari akhirat di mana Tuhan memerintahkan malaikat untuk menghimpunkan orang-orang zalim; dia merasa seolah-olah seperti dia yang dihimpunkan dalam senarai orang zalim itu, dan bukan saja orang-orang zalim itu, tetapi juga isteri-isteri mereka. Kenapa isteri juga dilibatkan? Ini kerana sebahagian daripada keputusan zalim itu datangnya dari isteri; ada orang jadi zalim kerana ikut cakap bini, banyak juga orang takut sama bini sampai ada pantun Melayu – “apa guna keris tersilang, kalau takut sama bini.”

Umar Abdul Aziz membaca ayat ini, dan merasa seperti dia yang dimaksudkan oleh ayat tersebut. Dia merasa takut dan sepanjang malam itu disitulah matanya tertumpu dan tak beralih ke ayat lain. Dia hanya sedar apabila muazzin melaungkan azan subuh. Membaca al-Qur’an tak semestinya banyak, tetapi mereka terkesan dengan al-Qur’an. Satu lagi contoh tentang terkesan dengan al-Qur’an ini ialah kisah Asma binti Abi Bakar – kepada kaum ibu ingin saya hadiahkan sebuah kisah tentang Asma. Satu hari ketika dia membaca al-Qur’an, dia bertemu dengan ayat 25-27 Surah 52: At-Tur.

A026A025A027 

Ketika Asma membaca ayat ini, dia sangat terkesan kerana ayat ini menyebut nanti disyurga, penduduk syurga apabila bertemu, mereka berhadapan satu sama lain dan bertanya (ayat 25) – macam mana kamu boleh masuk syurga ini – mungkin ada yang tak disangka-sangka, sebab di dunia juga banyak benda yang kita tak sangka berlaku seperti teman kita jadi ful lprofessor; compared to last time when he was a fool – al-Qur’an membayangkan bahawa warga syurga saling bertanya, “Apa yang kau kerjakan di dunia dulu sehingga kau layak masuk syurga.” Maka jawapannya mungkin, “Kami rajin usrah dulu, kami usrah selama 40 tahun, itukah? atau setiap Ramadhan kami mendermakan sekampit beras berbanding dengan orang lain yang menyumbang 10 kampit pada waktu pilihanraya secara tak ikhlas – tentu tak sama antara keduanya – mereka memberi jawapan seragam, “ Bahawa dulu kami ketika masih di dunia, ketika masih bersama keluarga, kami merasa sangat takut diazab,” takut dengan perkara-perkara seperti penyelewengan, kejahatan, kemungkaran, kami takut bukan takut yang dibuatbuat, tetapi betul-betul takut (ayat 26). Itulah, bila sampai ayat ini Asma tak beranjak ke ayat lain – dia baca lalu berdoa – berkali-kali – “maka Allah memberikan kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka” (ayat 27). Ketika itu dia didatangi oleh seorang tetamu. Lama dan letih sekali tamu itu menunggu hingga Asma selesai, namun tidak kunjung selesai juga, maka dia mengambil keputusan untuk melaksanakan urusan lain dulu – ke pasar, selesai urusan akan mengunjungi Asma semula. Urusan di pasar tentu saja lama dan bagi orang lelaki, yang paling tidak sabar ialah menemani isteri ke pasar; bayangkan kalau dia ada 3 isteri dan semuanya meminta ditemani ke pasar; tak sama dengan urusan mengundi yang sekejap saja, tak sama dengan mencuci dakwat kekal. Selesai urusan di pasar, dia pulang dan singgah sekali lagi di rumah Asma; ketika dia sampai sesudah sekian lama di pasar, Asma masih seperti tadi, masih di ayat itu, masih berdoa seperti tadi. Itulah Asma – cara Asma membaca al-Qur’an – atta-thurbilQuran – membaca hingga terkesan sampai berjam-jam, terpaku pada satu ayat, dua ayat.

Satu lagi di kalangan tabi’in, seorang yang bernama al-Ahnaf bin al-Qais, yang merasa sangat excited apabila membaca ayat 10, Surah al-Anbiya’, “Sungguh telah Kami turunkan al-Qur’an yang di dalamnya terdapat pemerian tentang kamu, maka apakah kamu tidak mengerti?” Kata kunci di sini ialah dalam kitab itu ada sebutan tentang kamu – (you are mentioned in the Qur’an) – siapa yang tak excited, padahal kalau masuk gambar sipi-sipi dalam surat khabar pun sudah meluru mencari– apatah lagi dalam al- Qur’an, bahawa kamu disebut dalam al-Qur’an, iaitu sifat dan ciri pelbagai golongan di kalangan manusia, telah menggerakkan al-Ahnaf untuk mencari dirinya dalam al-Qur’an – kamu disebut, tetapi tak tahu di mana, mendorong dia mencari dirinya dalam al-Qur’an – di mana aku – dari ayat ke ayat, dari surah ke surah. Di Surah An-Nisa’ ayat 145 “Sungguh, orang munafiq itu ditempatkan di tingkat paling bawah dalam neraka,” spontan katanya itu bukan aku. Dia yakin – Aku tak seburuk itu, tak sejahat itu. Setelah itu dilanjutkan perjalannya mencari diri hingga ke surah al-Anfal ayat 2, “Sesungguhnya orang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah kuat imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal,” dia dengan rasa sedih dan kesal berkata itu juga bukan aku – aku tak layak masuk golongan itu.

Pencariannya diteruskan sehingga bertemu Surah at-Tawbah ayat 102,

A102

“Dan ada pula orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampur pekerjaan baik dan buruk, semoga Allah menerima taubat mereka..” – matanya terpaku pada ayat tersebut – mengamati kata demi kata dan al-Ahnaf yakin dia telah menemui dirinya pada ayat itu – segolongan orang yang mengaku dosa-dosanya dan mencampurkan amal salih dengan amal yang buruk – ibadat dia buat, tetapi kejahatan dia tak tinggal juga, sekampit beras dia beri, tetapi duit kopi dia ambil juga. Bukan rasuah katanya, padahal keduanya serupa. Buat baik juga, tetapi kejahatan dan kemungkaran dia buat juga. Itulah aku. Dia menemui dirinya… “Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”

Kalau anda yang mencari diri, anda menemui diri di mana? Barangkali di sini juga – usrah juga tetapi mengata orang tak ada reserve. Sebagai penutup marilah kita memberikan perhatian kepada al-Qur’an – kerana percayalah bahawa sebanyak mana perhatian kita kepada al-Quran, sebanyak itulah al-Qur’an akan membuka rahsianya kepada kita. Kefahaman terhadap al-Qur’an ituakan kita peroleh sejauh perhatian yang kita berikan kepadanya; kalau tiada perhatian, tak akan bertambah kefahaman kita sampai bila-bila. Rahsia al- Qur’an itu dicurahkan apabila dibaca selepas waktu tengah malam, lebih banyak rahsia itu di revealed waktu malam berbanding siang, khususnya malam Ramadhan seperti yang kita jalani sekarang.

Terima kasih di atas perhatian saudara-saudara.
 
oleh Dato Dr Siddiq Fadzil
sempena Iftar Jama’iyy
20hb Julai 2013 di Kompleks Dar al Hikmah.
(Catatan oleh Hj Mohd Asri Abdul, Pengerusi Wadah Wilayah Persekutuan)




Sunday, June 23, 2013

Dukhaan

Sudah seminggu bumi Johor dalam berduka. Setiap kali fajar berlabuh, 'salji kecil' putih menutupi lantai bumi. Sekali di tiup dan dihentak, maka bertebaranlah ia membawa haluan sendiri.

Hari ini, angin semilir membawa jerebu melitupi pantai barat. Belum ada tanda-tanda akan surut.Bahkan Muar diisytihar darurat dengan paras yang sangat berbahaya. Innalillah wainna ilaihi rojiun.

Ada petanda yang Allah mahu  tunjukkan.Ujian bagi orang-orang yang beriman. Peringatan bagi sesiapa yang ingin mengambil pelajaran. Semuanya telah Allah nukilkan dalam qalamNya dalam Surah al-Dukhaan
( Asap)

44:10
 Maksudnya: Maka tunggulah hari ketika langit membawa asap (kabus) yang nyata.

******************************

Ya badrotim.

Maha Suci Allah!. cantik percaturan Tuhan. Allah datangkan malam yang berkat (nisfu sya'ban) untuk memberi keampunan kepada hamba-hambaNya.

 “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) "(Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani menilai sahih dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah 3/135).

Bahkan malam yang berkat termaktub indah dalam surah yang sama, al-Dukhaan. Masha Allah!


44:3

Maksudnya :Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan pada suatu malam yang diberkati, sesungguhnya kamilah yang memberi peringatan

Subhanallahi wabihamdihi, Subhanallah Al- Azim



"Tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan semua ini sia-sia, Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada Api Neraka" [Âl 'Imrân 3:191]





Tuesday, June 18, 2013

qalam tausiyah



Sudah lama pengajian talaqqi ditinggalkan. Rindu butir bicara para masyaikh. Rindu berdamping dengan ulama dan ahli bait.Rindu melantun qalam qasidah bersama-sama.Jiwa rabbaniy harus diberus cuci.Karat-karat dosa harus digilap bersih.

Talaqqi.

Satu juzuk dari sunnah Nabi SAW bilamana Rasulullah menerima wahyu dari Jibril, dan menghafal wahyu tersebut terus dari Jibril.
 
Talaqqi.

penyampaian dalam bentuk bilmusyawarah.dari lisan guru kepada anak muridnya.
Harus berdepan.

Kaedah pengajian sebegini diteruskan sehingga ke hari ini kerana pengaliran ilmu dan pecerahan kitab ulama' yang muktabar disampaikan secara bersanad (dari guru ke guru) sekaligus memelihara keaslian ilmu dan makna penulis kitab tersebut.

Allah.terima kasih atas peluang semalam.

Diakhir pengajian mata kami basah. Terasa 3 jam yang dipinjamkan terlalu pendek.Doa dan  selawat diiringi hujan rahmat melepas pergi ulama agung ini. Entah kapan lagi kami akan bertemu dengan ahli bait ini.Entah kapan lagi kumahu menumpang barakah.Barangkali jika tidak di dunia, harapan menggunung beliau memimpin kami ke jalan syurga.Ameen.
Fadhilatu Sheikh Ahmad Muhammad Said Al Husni Al Azhari




Beliau ahli bait.Berketurunan Hasan cucunda Rasulullah SAW.Butir bicaranya teratur.Mendamaikan bagi jiwa yang melihatnya.Pesan Rasulullah SAW, dari Anas b Malik, barangsiapa menyakiti keduanya ini dan keturunannya (ditujukan pada Hasan dan Husin),beerti dia menyakiti aku.

Jangan lupa, 3 golongan yang dapat memberi syafaat diakhirat kelak.pertama al anbia.kedua al-ulama’ dan ketiga,al syuhada’. Maka cintailah ahli bait.

Saya rasa terlalu kerdil.Memandang keliling yang mengangguk faham.Gagau mencerna bahasa syurga ini.Allah malunya.Jauhilah kami dari kejahilan.Jahil muraqqam?nauzubillahiminzalik..

Malu sendirian. Sudah lama tidak memperbaharui bahasa syurga. Berhabuk.

Lantaran, terpukul dengan pesanan beliau. Innama ilmu biltaallum…tuntutlah ilmu dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Berapa ramai boleh mencontohi Imam Al Nawawi. Hartanya ialah 2 helai pakaian. Satu untuk musim sejuk.satu musim panas.Berbekal keihklasan hadis arbain menenggelamkan kitab hadis yang lain.Lalu tertanya diri ini bagaimana?

Allah masih memberi secebis kefahaman.Alhamdulillah.Moga Allah ampunkan saya.

Ilmu. Amal. Mujahadah. Sabar.ikhlas.

Jaulah ulama warasatul anbia dari satu negeri ke satu negeri hanya kerana ingin berguru sebuah hadis.Mujahadah. Sabar. Ikhlas.

Jaulah saya dari timur ke selatan jua hanya kerana secebis ilmu. Itupun masih ada keluhan kecil tika kalah dalam mujahadah.Dipermulaan, pertengahan dan pengakhiran sentiasa perlu pada tajdid nawaitu. Mujahadah.Sabar.Ikhlas.

Hari ini, Allah mempertemukan dengan seorang hamba.Tiada dapat digambarkan dengan kata-kata.kagum.dia bukan siapa-siapa,Bukan jua ulama'.Jaulah beliau dari satu negeri ke satu negeri juga kerana secebis ilmu.Tiada satu pun keluhan kecil keluar dari halkumnya.Riak wajahnya tenang.Alangkah malunya saya.Pesanan masyaikh semalam, ada pada dirinya.

Terima kasih Allah atas percaturan hidup ini.Alhamdulillah thumma Alhamdulillah

Watashino namaewa Kensuka desu.Arigato Ken!

*******************
Al ilmu bila ‘amalin kashyajarin bila samarin.


Monday, June 10, 2013

Assalamualaikum


Haven’t been on for awhile, for various reasons -but back Alhamdulillah! Ramadan is returning! May we live long enough for our first iftaar in the blessed month after a year! Ameen


Saturday, June 1, 2013

Ahlan!


Baitul muslim adalah soal dua orang individu muslim yang bersatu di bawah satu bumbung dan bersama membina matlamat yang tidak terhenti meskipun salah seorang dari mereka terlebih dahulu dijemput Ilahi.

Rugilah kalau matlamat yang saling dituju hanya sekadar mengelilingi dunia untuk berbulan madu, kerana jika mati salah seorang maka matlamat itu pun akan terkubur. Begitu juga kalau matlamat untuk menjadi satu-satunya isteri kepada suami, kerana jika ditakdirkan poligami maka punahlah matlamat tersebut. Sama jugalah kalau matlamat untuk memiliki harta dan menjadi kaya raya, kerana jika takdirnya muflis maka rumahtangga terabai entah ke mana.

Jangan pandang pernikahan itu sebagai matlamat hidup, sebaliknya pandanglah pernikahan itu sebagai satu wasilah utk mencapai matlamat hidup. Matlamat hidup kita adalah redha Allah, justeru seluruh hidup kita akan berpaksikan ibadah kepadaNya. Dan pernikahan itu, salah satu daripada cabang ibadah :)


Sungguh baitul muslim itu suatu pelajaran. Makin belajar, makin terasa kejahilannya.

**********************


Akan ada satu ketika dalam kehidupan berumahtangga, suami atau isteri akan memandang kepada pasangannya sambil hati kecil mereka berbisik : Ya Allah, kini aku tahu kenapa Engkau takdirkan insan ini untuk berada di sebelahku.
 
Takdir Allah itu, terselit sejuta hikmah bukan :)

Barakallahulakuma wabaraka 'alaikuma, wajama'a bainakuma fil khair..

Nadhirah, selamat melayari bahtera rumahtangga.Semoga menjadi isteri yang solehah. 

Ahlan wasahlan ya Muhammad fi usratina.Jaga Nadhirah elok-elok..

Kalian, teruskan menuai cinta hingga ke syurga kerana Allah.. 

Haru! insiden tertukar isteri berlaku jugak akhirnya..ish ish ish...Nampaknya saya perlu lebih berhati-hati selepas ini.huhu.

Senyum :)