Wednesday, November 28, 2012

Saya ingin jadi seperti mereka


Syukur. Gembira. Sebak

Perasaan ini bercampur baur saat kaki mencecah bumi kuantan. Masjid UIAM, mahallah, sahabat-sahabat seperjuangan dan adik-adik BaitulHusna..Semuanya menari-nari ditubir mata. Ah rindunya UIAM dan orang-orangnya. Tidak sabar menanti mereka yang saya rindui. 

Musafir saya ke Kuantan dengan dua tujuan: 

Pertama, memenuhi jemputan ke Conference on Volunterism: A Long Life Inspiration. Insan yang bakal berucap tidak lain dan tidak bukan ialah Madam Martinelli Hashim, insan yang saya kagumi. Selama ini saya hanya mengikuti beliau di laman blog dan Facebook, dan kali ini saya berharap dapat bertemu mata dengannya. Saya harus mengambil manfaat dari insan hebat ini. Begitu jua Dr Samsul, seorang doktor perubatan dan aktivis kemasyarakatan yang saya hanya mendengar kehebatan beliau melalui sahabat-sahabat dari bidang perubatan.

Kedua, tidak lain kerana rindu dengan sahabiah seperjuangan.

Jam 12.3o pagi..Saya sabar menanti sahabat mengambil di perhentian bas. Sementara itu,mata menjamu keletah manusia-manusia yang masih cergas ke sana ke mari dengan urusan yang tidaklah saya tahu. Saya tertanya-tanya gerangan apa terlalu banyak khemah-khemah didirikan dengan gerai beraneka jenis?Ah mungkin ada peristiwa besar sedang berlangsung disini barangkali.

Dan perlahan-lahan beberapa gerai melabuhkan tirai.Saya makin resah menunggu.Kelibat jauh saya terlihat beberapa lelaki ‘menakutkan’ berjalan datang melintasi tempat saya menunggu. Saya berdoa bersungguh-sungguh. Saat itu juga saya memarahi diri kerana bermusafir seorang diri di penghujung waktu. Saya berdoa dan terus berdoa.

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah..

Kelibat sebuah motosikal mendatangi dan menurunkan seseorang. Barangkali menghantar sahabatnya ke stesen bas.Saya berdoa berharap ‘orang motosikal’ itu menyelamatkan keadaan ini. Allahu Allah. Syukur. Orang motosikal itu ialah sahabat seperjuangan yang saya hormati dan kagumi. Masakan tidak saya kagumi, kerna orang hebat seperti beliau bakal menjadi panel dalam forum Muslim Youth Convention esok hari!. Ah sahabat ini, masih ada lagi aura kepimpinan walau sudah tidak lagi berada dalam saff pimpinan Kuantan. Terima kasih Tuhan menghantar sahabat penyelamat keadaan. 

................................................................................................
“Dan infakkanlah (hartamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu jatuhkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri, dan berbuat baiklah.Sungguh, Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik” Surah albaqarah:195

Ayat diatas merujuk kepada panggilan ummah (ummatic call) kata Madam Martenelli, memulakan bicara beliau. Volunterism (sukarelawan) didefinasikan beliau sebagai dakwah. Untuk mencapai dakwah harus melalui 3 syarat. Dan syarat itu perlu melengkapi antara satu sama lain;

1.Peluang
2.Kebolehan
3.Minat

Madam Martinelli Hashim

 
Saya terkelu mendengar ceritera perjuangan dakwah beliau. Daripada bergerak berseorangan sehinggalah berjaya menubuhkan Censerve (mengandungi 16 persatuan yang aktif) sebuah badan yang bertanggungjawab dalam bidang kesukarelawan di UIAM. Madam Martinelli sudah didedahkan dengan dunia kesukarelawan sejak usia 15 tahun tanpa dipinta sesiapa. Beruntung kerna masa mudanya sudah tahu berbakti untuk ummat. Mengenang kembali saya di usia seperti itu sedang apa ya?

Dan kerja dakwah beliau ini diteruskan sehingga ke hari ini.  Saya tertanya-tanya bagaimana mungkin beliau boleh mengurus kerja dakwah sedang masa yang sama harus mengurus keluarga, kerja, suami dan anak-anak. Jika dikira tuntutan beliau sebagai isteri, ibu, anak (kerana ibunya tinggal bersama beliau), pekerja dan daie memerlukan komitmen yang tinggi dengan keterbatasan waktu membahagikan semua tanggungjwab ini. Saat itu beliau memaklumkan hujung minggu ini ada 60 program sedang berlangsung serentak di sekitar Pahang, Gombak dan Kuala Lumpur. MasyaAllah! Ini sudah luar biasa. Beliau sambil berseloroh (saya menganggap ini serius) menyebut, kerja dakwah perlu ada kefahaman dari pasangan, dan pemilihan pasangan yang faham dan serasi perlu jika kita mahu serius meneruskan jalan ini. 

Sungguh manusia ini banyak memberi inspirasi pada saya. Jauh di hati kecil saya bertanya, mampukah diri menjadi seperti beliau?

KAROMAH DAN ISTIQOMAH

Dalam menggerakkan kerja dakwah, jika ikhlas pasti Allah memudahkan urusan. Ceritera seperti mendapat nikmat seperti yang tidak disangka-sangka,baik berbentuk wang, masa, tenaga sudah banyak saya dengar dari senior-senior dan orang-orang hebat. Misalnya saya pernah mendengar bahawa beliau bakal menghadapi peperiksaan penting esok hari, tetapi hari ini masih lagi bertungkus lumus dengan aktiviti kemasyarakatan. Tapi Allah memudahkannya beliau menjawab perperiksaan dengan mudah dan keputusan yang diperoleh juga memberangsangkan. Begitu juga ada yang bercerita bahawa beliau dalam kesempitan kewangan namun Allah mendatangkan ‘tangan-tangan’ yang memberi. Semua itu perlu keikhlasan. Dan kenikmatan-kenikamatan itu dinamakan karomah menurut Dr Samsul. Berulang-ulang kali beliau menegaskan, kita buat kerja dakwah bukan kerana karomah, tetapi apa yang penting ialah doa dan istiqamah. Beliau menyatakan kebimbangan, takut-takut karomah yang diperoleh, dipertontonkan dan ia akan menimbulkan  rasa ujub, takabbur dan rasa riak. Hasilnya, orang akan buat kerja dakwah dengan sebab untuk mendapatkan karomah dan bukan istiqamah. Namun, beliau berpesan tidak salah menceritakan kenikmatan disebalik  kerja dakwah kerana boleh jadi ia memberi inspirasi, motivasi, pengajaran malah teladan untuk terus istiqamah dalam jalan dakwah.

Dr Samsul:Aktivis

 Ada 3 perkara penting dalam kerja dakwah menurut Dr Samsul;

1-networking
2- kebolehan
3-minat

Saya bersetuju bahawa networking penting dalam kelangsungan sesuatu kerja dakwah. Networking juga ditakrifkan beliau sebagai berjemaah. Pentingnya bergerak dalam jemaah kerana segala keputusan gerak kerja dan masalah dapat diatasi bersama.Menurut beliau tidak salah jika mahu bergerak sendirian namun bimbang apa yang difikirkan, diputuskan dan dibuat mengikut hawa nafsu.Pernah beliau dipanggil pihak pentadbiran atas ‘kesalahan’ membuat aktiviti kesedaran dan qiam kepada warga mak nyah di masjid dengan alasan masjid tempat suci untuk beribadat dan keberadaan golongan tersebut boleh mencemarkan kesucian masjid. Ah saya sudah terbakar mendengar berita ini! Betapa sempitnya pemikiran dengan memperkecilkan peranan masjid sedekimian rupa. Dengan tenang beliau membalas, keputusan mengadakan program ini adalah keputusan syura dan tidak boleh dipersalahkan atas bahunya semata-mata. Akhirnya, isu tersebut ditutup serta merta. Begitulah besarnya peranan dalam jamaah dalam usaha menggerakkan aktiviti dakwah.

Saya memandang networking itu penting saat saya sudah melangkah keluar dari bumi UIAM. Kerana saya bimbang keaktifan saya ke usrah,tamrin dan program lapangan ketika dipengajian akan terhenti dan 'beku' setelah bergraduasi. Kebimbangan itu terjadi kerana saya mendengar dan memerhatikan beberapa sahabat dahulu yang sangat aktif dengan hal ehwal kemasyarakatan ketika di kampus ,namun sudah sepi setelah keluar dari institusi pengajian dan mempunyai kerjaya.Puncanya? 

Alhamdulillah,saya bersyukur dipertemukan Tuhan dengan insan-insan yang baik ketika berada di Selatan Tanah Air.Dan ini mengingatkan saya kepada kata-kata Dr Samsul bahawa penting mempunyai networking yang baik. Terima kasih Tuhan.

Barisan mantan dan  CC Fasiteam

Sesi petang ialah perkongsian pengalaman bersama mantan Chief Coordinator fasiteam yang banyak berjasa kepada perkembangan penubuhan Fasiteam sehingga kini. Dan mereka ini masih bergiat aktif dalam kerja lapangan.Awesom sungguh !
............................................................................................. 

Saya pulang pagi itu dihantar sahabat ke perhentian. Pertanyaan saya terjawab,kesesakan bandar Kuantan pagi ini disebabkan pesta Jom Heboh. Rindu saya terubat walau kehadiran saya di sini sekejap cuma. Dan pulangnya saya ke selatan tanah air membawa semangat dari orang-orang sakti untuk terus istiqomah mewakafkan diri untuk ummah! Terima kasih Tuhan.


********************

“Gelaran mahasiswa bukan sekadar gelaran. Di dalamnya tersembunyi NILAI AKAL YANG TINGGI dan NILAI BUDI YANG INSANI. Dengan akal yang tajam mereka dapat menilai menggunakan HIKMAH  dan dengan lidah yang MAHIR mereka dapat BERBICARA BAHASA UMMAH” ~ Madam Martinelli Hashim




No comments:

Post a Comment