Monday, February 18, 2013

wasatiyyah


Syair Arab pernah berbunyi : ‘Hendaklah engkau menjaga pertengahan dalam segala urusanmu, kerana pertengahan itu jalan yang paling baik menuju kebahagiaan, maka janganlah engkau berlebihan atau kurang kerana kedua-duanya adalah tercela’. 


Dasawarsa ini, isu wasatiyyah (moderate) semakin mendapat tempat dan perhatian, malah merupakan salah satu agenda pemerintah masa kini. Namun, penentuan ukuran wasatiyyah seringkali menimbulkan polemik dalam masyarakat, terutama kepincangan memahami dan menghayati dalam konteks agama yang sebenar. Malah, seringkali juga aplikasi ini bersifat musim-musiman dan hanya dimanifestasi apabila timbulnya gejala ektremisme keagamaan dengan pelbagai jelmaanya. 

Jika ditelusuri sejarah, gagasan wasatiyyah sebenarnya sudah lama diperkenalkan oleh ulama’ kontemporari masa kini, iaitu Sheikh Yusuf al-Qaradawiy yang memberikan garis panduan lengkap dalam ma’alim al-fikr al-wasatiy (taanda-tanda petunjuk moderat). Ulama’ ini juga konsisten dalam menolak kekerasan dan keganasan berdasarkan fatwanya dalam fiqh al-muwazanat (fiqh pertimbangan) dan fiqh al-awlawiyat (fiqh keutamaan). Konsep wasatiyyah inilah juga turut diperkenalkan dalam salah satu gagasan (gagasan ke-4) PKPIM/ABIM sekitar tahun 70-an lagi, yang mengambil pendekatan yang sederhana dan tepat dan menjauhi segala bentuk kecenderungan yang melampau. Bagi Muhammad Imarah (1992), wasotiyyah atau moderasi, tidak harus digambarkan sebagai posisi antara dua kutub, atau satu titik geometri. Moderasi sebenarnya lebih membawa makna suatu pendirian ketiga yang mengintegrasikan segala yang terdapat pada kedua-dua kutub itu secara proportionate; seimbang dan harmonis.

Sifat sederhana ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:“ Sebaik-baik urusan ialah sederhana”. (Riwayat al Baihaqi) dan sabdannya lagi “ Sebaik –baik amal ialah berkekalan walaupun sedikit”. ( Riwayat Bukhari dan Muslim). Kita dianjurkan untuk besederhana dalam dalam beramal. Baik dari sudut duniawi mahupun ukhrawi. Konsep sederhana itupun harus di fahami dengan jelas agar tidak disalahertikan. Sederhana bukan bermaksud separa penuh, tetapi kerja atau amalan yang diperintahkan Allah harus dilaksanakan bersungguh-sungguh. Maknanya, jika kita melaksanakan solat fardhu, lakukanlah dengan sempurna dengan menjaga ketertiban solat dari awal hingga akhir solat. Begitu juga dalam konteks membangunkan kehidupan ummat, perlu dilakukan dengan serius dan mengikut syariat Allah. Contohnya, jika berniaga, lakukanlah dengan niat memenuhi tuntutan fardhu kifayah,di samping tidak lalai dalam menunaikan solat dan zakat. Dalam konteks dakwah misalnya, kita harus seimbang dalam menyampaikan mesej agama Islam. Dalam usaha kita menyeru kepada kebaikan,maka mencegah kemungkaran juga hendaklah dilakukan serentak. Ini kerana, seringkali kebanyakan daie banyak tertumpu kepada program kepada mengajak kepada kebaikan, tetapi lupa/kurang memberi tumpuan dalam menutup ruang-ruang kemungkaran. Justeru,meletakkan keseimbangan antara mengajak kebenaran dan mencegah kemungkaran akan menghasilkan kesejahteraan ummat yang dicita-citakan (Dr Siti Zzalikha Md Nor,Himpunan Helwa Kebangsaan 2013).

Namun, jika dilihat  fenomena yang biasa dalam masyarakat Melayu Islam adalah melaksanakan urusan dunia dengan ala kadar sahaja dan memperbanyakkan amal ibadat dengan harapan amal ibadat yang dilakukan menjadi ganjaran  yang  tidak disangka-sangka. Lalu dengan pegangan ini, masyarakat Melayu Islam tidak serius dalam membina ketamadunan dunia. Jika urusan yang dilakukan tidak mendapat hasil yang memuaskan, maka takdir pula disalahkan : “Apa boleh buat, sudah nasib”..”Ermm, tak ada rezeki, dah takdir”..

Begitu juga dalam konteks seorang pelajar, dalam usaha mahsiswa/si yang  terlalu komited dengan urusan dakwah, jangan lupa untuk lebih serius dalam menuntut ilmu, bahkan itulah peranan utama kita sebaik pertama kali melangkah ke menara gading. Ya benar, firmanNya berbunyi “ Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Dia akan menolongmu”. Tetapi harus diingatkan pertolongan Allah dikurniakan pada hambaNya yang ikhlas, bersungguh-sungguh dan tawakkal serta mengharapkan keredhaanNya.  

 “ Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak Kami, sesungguhnya  kami pimpin mereka ke jalan-jalan Kami ( yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya pertolongan dan bantuan Allah beserta orang yang berusaha membaiki amalannya".(surah al ankabut 29: 69). 

Dalam kaitan ini, saya tertarik tulisan Ustaz Siddiq Fadzil dalam bukunya “Islam dan Melayu:martabat umat dan daulat rakyat” yang menulis ciri wasatiyyah harus diaplikasikan secara nyata dalam sistem pendidikan negara dengan menekankan pembinaan watak seimbang menerusi kurikulum yang seimbang: rohani dan jasmani, intelektual dan moral, prestasi akademik dan kecintaan terhadap ilmu. Kegagalan melaksanakan pendidikan wasotiyyah telah mengakibatkan lahirnya generasi yang hilang keseimbangan: berpelajaran tetapi tidak berpendidikan, berotak tetapi tidak berakhlak, hanya mengingat fakta tetapi tidak mampu menyelesaikan masalah, hanya tahu meminta-minta (pekerjaan) tetapi tidak mampu mencipta pekerjaan.

Justeru, konsep wasatiyyah perlu difahami dalam ertikata yang sebenarnya, dan ciri-ciri wasatiyyah harus dimanifestasikan sepenuhnya dalam semua bidang kehidupan baik politik, ekonomi, pendidikan, dakwah dan sebagainya. 


************************************
"wasatiyyah tonggak kesatuan ummah" tema besar Mahrajan Cinta Rasul UTM. mari penuhi taman-taman syurga minggu ini :)


dari pagi sampai ke malam..Allah padat sungguh kuliah tafaqquh..jika diikutkan hati mahu saja berkampung disini!(wasatiyyah?)..huhu.


No comments:

Post a Comment