Friday, April 19, 2013

Bahasa Abah



Sayup dicorong telefon, suara abah mengah. Tercungap-cungap. Hati saya berdebar kencang.

“abah, kenapa? Sihat ke tak ni?” gusar menerpa

“eh tak ada la.abah sihat sokmo.”

“kenapa nafas macam tersekat-sekat.macam baru  lepas berlari” saya dipagut bimbang.

Pecah ketawa abah.Barangkali fikir saya bergurau.Khabarnya, sore tadi banyak bekerja, menambah pasir kristal pantai depan rumah.Menambah ‘sutuh’ dibelakang, dan membakar lalang diluar pagar.Itu pun saya risik melalui mama.Abah abah.sama seperti dulu.berahsia.

Abah makin sibuk sekarang. Mengerah kudrat tuanya demi putri sulungnya yang bakal menamatkan zaman bujangnya di pertengahan Rejab ini. 

Mengenangkan ini saya lantas teringat esakan kecil kakak tempoh hari.Tentang abah. Ah barangkali beliau tertekan.Atau  barangkali beliau belum khatam benar sifat abah. Perlahan saya tiupkan kembali semangat dan berfikir positif. Sempat saya berseloroh, ambillah buku Men From Mars, Women from Venus karya John Gray di rak buku kesayangan saya. Walaupun kandungan tersebut bukan semuanya tepat, tapi masih banyak benarnya. Belajar memahami bahasa lelaki.Di samping perlu panjangkan lagi rukun taaruf dan tafahum dalam usrah ini.Bukan kerana abah seorang.Tapi pada abang,saudara, sahabat, orang sekeliling bahkan pada bakal zaujnya. Lucunya, dia sedikit hairan bagaimana saya memiliki buku tersebut!

Saya jadi teringat pepatah orang lama “seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak dengan baik sehingga besar, namun belum tentu dalam 10 orang itu, seorang anak mampu menjaga seorang ibu”

Maka saya analogikan “seorang abah boleh faham sifat dan karenah 10 anak-anaknya, namun seorang anak belum tentu memahami /bertahan dengan karenah abah”

Panggilan kali ini kerana seperti tahun sudah. Hari ini sejarah buat abah dan mama.

“ Abah selamat hari lahir yang ke 61 dan selamat ulang tahun perkahwinan yang ke .. err”

“26” pintas abah.kami ketawa serentak. Bahagia.

“semoga pertambahan umur ini, abah dikurniakan rezeki yang melimpah ruah, bertambah amal dan moga jodoh dengan ma berpanjangan di syurga” 

“amin amin amin,terima kasih” berulang abah mengaminkan doa.

“erm abah nak hadiah apa?”

Dalam nafas yang bersisa tercungap-cungap,abah membalas,” ish abah tak mahu apa2 la. Jangan susah-susah. Doa untuk abah dan ma pun dah cukup.” Jawapan yang sama seperti tahun –tahun sudah.

Saya tdak dapat meneruskan perbualan lama-lama. Nafas abah tercungap-cungap mengusik perasaan saya. Kolam mata sudah bertakung menahan sebak.

Allahu Allah. Usia abah sudah  melepasi setengah abad. Sungguh pantas masa berlalu. Menghitung diri ini yang masih banyak tanggungjawab pada abah tak tertunai. Pastinya pengorbanan abah dan mama tidak sama setimpal dengan nilai kecil yang disumbangkan oleh anak-anak. Apakah saya mampu setabah Uwais al Qarni dalam membalas jasa kedua orang tuanya? 

Hanya satu yang abah pinta. Dan permintaan itu diulang sama sewaktu saya di Tingkatan 4.kini diulang kembali sehari sebelum kaki menjejak selatan tanah air. Buat sekian kalinya, saya meninggalkan orang tua jauh demi seteguk ilmu. Bumi yang tidak pernah ada dalam rancangan hidup saya. Apatah lagi kegusaran abah bertamu apabila anaknya makin menjauh dari mata.

“Kalau abah tak ada nanti, tengokkan lah adik-adik. Abah didik adik-adik ni tak sama dengan apa yang abah buat pada kalian yang atas.kena ikut zaman. Mungkin abah buat sekarang, adik-adik tak berkenan dengan cara abah. Jadi yahlah kene ganti tempat abah ,tengok kan adik-adik kalau abah tak ada nanti”

“Abah kenapa abah cakap macam ni.Memang tanggungjawab yah tengok adik-adik,insha Allah", mata saya sudah bergenang.

“Abah bukan apa.takut anak-anak kecil hati. Yah kene jadi contoh adik-adik. Abah tak ada banyak harta nak tinggal .Harta abah guna untuk ilmu anak-anak abah”

Masha Allah.Sungguh, abah berusaha menyenangkan hati anak-anak.Kemas-kemas saya pegang pesanan abah.Saya terus meluru masuk bilik menghamburkan tangisan. Mudah benar jiwa tersentuh dengan kata-kata abah.

Kini, Abah tetap abah.pendiam.berahsia.tegas.bezanya, tidak garang seperti dulu. Bezanya,abah tidak secergas dahulu.

Abah adalah lelaki yang walaupun tidak tahu menunjukkan kebaikan dengan kata-kata, tetapi abah masih memiliki kemuliaan hati dan kebaikan.

Kebaikan itu bukan pada kata-kata…kerana sifat itu adalah kebaikan.

Bingkisan rasa khusus untuk abah tercinta
Selamat meyambut tahun kelahiran abah ke 61 & selamat ulangtahun perkahwinan ke 26
6 April 2013


Tuesday, April 16, 2013

Berdakwah di Jalur Politik, Berpolitik di Jalur Dakwah

Saya tidak menyangka sejauh ini kaki melangkah. 

Berada dalam gelanggang ini bukanlah cita utama saya.

Namun atas pencerdasan siayasi, pencerahan dan kesedaran, semangat perjuangan menegakkan hak dan batil akhirnya Allah jua mentaqdirkan diri turut berbakti dalam gelanggang ini.

Benarlah apa yang dijangka sebelum ini. Tidak mudah berjuang mempertahankan kebenaran. Perasaan bercampur baur. Antara perasaan teruja, semangat,bimbang dan takut,semua bermain-main dibenak kepala.

Peristiwa diherdik kasar, kebimbangan pada ‘mata-mata’ yang menyaksikan, peperangan saraf yang sarat dengan emosi, pencemaran majlis dengan gangguan yang biadap dan tak berakhlak,semuanya menjadi memori berharga untuk diabadikan.

Namun manisnya,apabila melihat sirna mata ‘Yang Berkhidmat’ gembira dengan kehadiran orang muda menghulurkan tangan meringankan beban. Manisnya ukhwwah apabila partisipasi bersama dengan golongan ‘non muslim’. Manisnya, apabila ucapan sulung yang ditunggu-tunggu sarat dengan nada perjuangan.Laungan takbir dan kalimah tauhid diulang-ulang membawa roh melayang berfantasi sebentar sebelum bahu ditepuk sahabat. Masha Allah, apa jua aturan langkah kaki ini adalah pilihan diri melalui taqdir Allah.

Menyaksikan warna warni perjuangan dakwah politik sebegini lantas minda terus melayang teringat pada perjuangan dakwah politik Pak Natsir.Alangkah beliau dahulu peritnya meyampaikan dakwah dijalur politik.




Setelah diangkat menjadi pemimpin, kecendikiawannya ditumpukan sepenuh masa kepada berdakwah secara eksplisit, atau “berpolitik dijalur dakwah”. Meskipun bidang perjuangan sudah bertukar dan gaya berwacana menjadi pendakwah agama yang jelas, namun ia tetap memerah keseluruhan tenaga intelektual, kekuatan ruhani, keluasan semangat al-tasamuhnya dan ketinggian budipekertinya. Sesungguhnya nilai-nilai pokok dari pandangan hidup Tawhid beliau – hidup kerana Allah s.w.t, berjihad fi sabilillah, berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunnah, mencari keredhaan Ilahi, bukan kepujian atau sanjungan manusia, penghayatan al-taqwa dan al-akhlaq al-karimah dalam semua urusan kehidupan, dan meletakkan kepentingan Islam dan umat Islam di atas segala kepentingan diri atau kelompok serta menjadi asas dan pendorong yang sama, baik dalam bidang politik maupun dalam bidang dakwah praktis.

Sungguh, saya menantikan detik bersejarah Malaysia dengan perUBAHan sistem politik yang baru, adil dan saksama.

Sabda Nabi: 'Siapa yang melihat kemungkaran, maka UBAH lah dengan TANGAN. Jika tak mampu, UBAH lah dengan lisan. Jika tak mampu, maka dengan hati. Dan itu merupakan selemah lemah iman' - (RiwayaMuslim)

Masa untuk memilih makin hampir. Jika sebelum ini kita pinggir diri dari memilih atau memilih untuk menolak dgn hati semata, ini kali kita ubah. Ayuh. Usaha ubah dengan tangan. Usaha ubah dengan secalit jari yang akan menjawab di Akhirat. Inshaallah. Moga Allah redha.