Sunday, March 10, 2013

Melahirkan Manusia Berjiwa Besar




 "Asas kebaikan bangsa adalah kebaikan keluarga. Dan kunci kebaikan keluarga adalah kebaikan kaum perempuan, kerana perempuan adalah guru dunia. Perempuanlah yang menggoyang ayunan buaian dengan tangan kanannya dan menggoyang dunia dengan tangan kirimya" (Imam Hassan al Banna)

Sehingga artikel ini ditulis, intipati kuliah Subuh Ustaz Naim masih lagi segar dalam ingatan saya. Sungguh, peringatan beliau telah menjentik minda, bahkan saya pasti rata-rata yang hadir pun bersetuju dan sedar akan tanggungjawab dan peranserta apabila bakal atau sudah bergelar isteri /ibu.

Dek kerana itulah, pengkisahan keluarga Aliemran dari Ustaz Naim menjadi momentum pada saya untuk lebih berusaha mencontohi peranan kaum hawa dalam melahirkan manusia yang berjiwa besar. Ini kerana kebanyakan pemuda yang merobah zaman dilahirkan hasil acuan didikan ibunya dan peranan isterinya.

Sejarah Islam banyak membuktikan peranan wanita dalam melahirkan manusia berjiwa besar. Sebagai contoh, Imam Bukhari, menjadi insan yang hebat dalam sumbangannya kepada perkembangan ilmu hadis hasil daripada peranan ibunya. Imam Bukhari ketika dilahirkan dalam keadaan buta matanya. Namun, berkat kesungguhan doa ibunya dan tidak putus-putus memberikan pendidikan agar celik hatinya, akhirnya Allah mengembalikan penglihatan beliau, bahkan menjadi ahli hadis yang terkemuka.

Kisah manusia berjiwa besar juga telah terakam indah dalam surah Aliemran. Alhamdulillah, pengkisahan Ustaz Naim, dan pencarian dari kitab Tafsir telah melengkapkan kemusykilan dan persoalan saya selama ini. Siapa Aliemran?Apa perkaitan beliau dengan Maryam?Bagaimana hubungkait Maryam dengan Nabi Zakaria?dan Siapa sebernarnya Ibu Maryam?Mengapa istimewanya nama beliau ini sehingga Allah memuliakannya?

Ayuh mari bersama kita telusuri kisah agung ini dan mudah-mudahan kisah ini menjadi pengajaran serta panduan bersama.

3:35

Maksudnya : Ingatlah! Ketika Imran berkata “ Ya Tuhanku, sesungguhnya aku bernazar kepadaMu, apa (janin) yang dalam kandunganku (kelak) menjadi hamba yang mengabdi (kepada-Mu), maka terimalah (nazar itu) dariku. Sungguh Engkaulah Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui” (3;35)


Isteri Imran di sini ialah, Hannah binti Faquza. Dan Imran tersebut bukanlah bapa Nabi Musa—kerana bapa Nabi Musa juga bernama Imran—yang antara Nabi Musa dengan Imran yang diceritakan disini berjarak kira-kira 800 tahun.

Dikisahkan Hannah, menderita selama 80 tahun (meningkat umur tua) kerana kepingin seorang anak, sehingga beliau disisihkan masyarakat. Beliau sentiasa memanjatkan doa semoga Allah kurniakan kepadanya anak yang kelak akan dimerdekakannya dari bekerja kecuali hanya menajdi khadam di rumah ibadat, Baitulmaqdis. Tidak berapa lama kemudian, Allah telah memakbulkan doanya, dan ia bernazar sebagaimana disebut pada ayat di atas. 

Memang menjadi kebiasaan keturunan Nabi kaum Bani Israel dan orang-orang alim mereka, bila dikurniakan Allah anak lelaki maka anak tersebut dimerdekakan dari segala kerja, hanya semata-mata untuk tinggal di rumah ibadat sehingga baligh. Setelah meningkat dewasa, anak tersebut boleh memilih sama ada terus berkhidmat dirumah ibadat itu atau keluar bekerja, dengan syarat mestilah seorang lelaki. Perempuan dilarang kerana kebersihannya terhalang dengan kedatangan haid dan nifas dan syarat ini bertujuan menjaga kesucian rumah ibadat tersebut.

Nazar Hannah menjadi kegusaran pada suaminya, Imran. Imran mengingatkan apakah kelak akan dilakukan sekiranya bayi yang dikandungnya itu perempuan?Tentulah sia-sia sahaja untuk menjadi khadam jika anak tersebut perempuan. Mengenangkan hal ini, keduanya dalam keadaan gelisah dan berdukacita. Tidak lama kemudian, suaminya, Imran, meninggal dunia sebelum sempat melihat isterinya, Hannah melahirkan anak. Allah telah menyebut betapa besarnya harapan Hannah yang berdoa dan merayu kepada-Nya agar dikabulkan:

"Maka terimalah (nazar itu) dariku. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Mengetahui."

3:36



 Maksudnya: Maka ketika melahirkannya, dia berkata “ Ya Tuhanku, aku telah menerima anak perempuan”. Padahal Allah lebih tahu apa yang dia lahirkan, dan laki-laki tidak sama dengan perempuan, “ dan aku memberinya nama Maryam, dan aku mohon perlindungan-Mu untuknya dan anak cucunya dari (gangguan) syaitain yang terkutuk

Maka Hannah telah melahirkan anak perempuan yang diberi nama Maryam. Hatinya sebal dan sedih mengenangkan harapan dalam nazarnya dahulu.Maryam beerti seorang yang taat beribadat. Hannah apabila mengetahui cita-citanya untuk menjadikan anaknya khadam dirumah ibadat itu kecewa, niatnya tetap tidak berganjak untuk menjadikannya juga seorang yang taat beribadat. Sejak kecil Hannah mengasuh dan mendidik anaknya dengan penuh kasih sayang. Setelah berusia 6 tahun, bagi memenuhi nazarnya, beliau dengan berat hati melepaskan Maryam kepada  Nabi Zakaria ke Baitulmaqdis untuk berkhidmat sebagai ahli ibadat sehingga mencapai usia akil baligh.

Hubungkait Nabi Zakaria dengan Maryam 

3:37 
Maksudnya: Maka dia (Allah) menerimanya dengan penerimaan yang baik, membesarkannya dengan pertumbuhan yang baik, dan menyerahkan pemeliharaannya kepada Zakaria. Sertiap kali Zakaria masuk menemuinya di mihrab (kamar khusus ibadat), dia dapati makanan disisinya. Dia berkata “ Wahai Maryam! Dari mana ini engkau peroleh?” Dia Maryam menjawab, “Itu dari Allah”. Sesungguhnya Allah memberi rezzeki kepada siapa yang dia kehendaki tanpa perhitungan

Dikisahkan Nabi Zakaria dan Imran, keduanya telah berkahwin dengan dua orang perempuan adik beradik dari golongan yang baik dan soleh. Masing masing Zakaria berkahwin dengan Ashya’ binti Faquza manakala Imran berkahwin dengan Hannah binti Faquza. Nabi Zakaria telah menyediakan rumah ibadat khusus buat Maryam dan tiada siapa dapat memasukinya dan menguncinya melainkan Nabi Zakaria. Setiap kali masuk ke mihrab, Nabi Zakaria ternyata takjub apabila mendapati rezeki di sisi Maryam dari berjenis-jenis makanan dan buah-buahan musim yang tidak ada pada musim tersebut.Demikianlah Tuhan itu berkuasa menjadikan yang demikian sebagaimana firmannya pada akhir ayat 37 yang bermaksud:


"Zakaria berkata : Hai Maryam! Dari mana engkau dapati makanan? "

Dia Maryam menjawab, “Itu dari Allah”. Sesungguhnya Allah memberi rezzeki kepada siapa yang dia kehendaki tanpa perhitungan


Kehilangan anaknya dari pandangan tersebut, meruntun perasaan seorang ibu. Akibat terlalu merindui akan anaknya, Hannah berulang alik dari kampung ke Baitulmaqdis semata-mata mahu melihat Maryam biarpun dari kejauhan. Kerana perjalanan terlalu jauh untuk berulang alik dari kampung ke BaitulMaqdis, Hannah mengambil keputusan berkampung di benteng Baitulmaqdis. 

Dan benarlah, Maryam itu adalah secantik-cantik dan semulia-mulia perempuan dewasa itu

 
Setiap pagi, sarapan roti beliau akan sedekahkan kepada beberapa orang yang tersadai di benteng tersebut termasuklah ibunya tanpa mengetahui akan kehadiran Hannah. Perbuatan Hannah tersebut diperingatkan oleh Zakaria memandangkan umurya makin lanjut dan terlalu tua. Akhirnya, setelah beberapa tahun, Hannah meninggal dunia dan kematian ibunya ditangisi oleh Maryam. Apatah lagi mengetahui perbuatan ibunya yang sanggup berhujan panas tersadai di benteng tersebut semata-mata mahu melihatnya.

Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Nazar dan doa Hannah akhirnya dikabulkan Tuhan apabila lahirlah zuriat keturunan mulia bernama Isa al Masih binti Maryam sebagaimana kita semua maklum akan sejarah agung ini. Inilah kisah agung disebalik pengorbanan,harapan dan doa seorang ibu terhadap anaknya.

Di akhir kuliah tersebut, Ustaz Naim sempat berpesan bahawa tanamlah azam dan berusaha untuk menjadi ibu contoh pada anak-anak. Justeru, amat penting bagi ibu bapa dalam memberi nama anak yang dilahirkan kelak dengan nama yang baik atau nama tokoh-tokoh pejuang Islam. Adalah tidak keterlaluan jika mendoktrinkan anak kecil dengan nama-nama tokoh tersebut agar dewasa kelak beliau menjadi manusia berjiwa besar yang merubah zaman seperti yang diharapkan, Insha Allah.

“Didiklah anak kamu, sesungguhnya mereka dilahirkan untuk zaman yang bukan zaman kamu”. - Sayyidina Umar Al-Faruq



 *********************************
wanita sebagai kekasih
dirindui setiap masa
wanita sebagai isteri
terukir disetiap dada
wanita sebagai ibu
disanjung dan dipuja 
wanita yang solehah itu
termaktub indah dalam kitab yang ESA

Selamat Hari Wanita :) 

adapun tentang ayah...saya fikir ada kisah menarik dari surah Luqman.



No comments:

Post a Comment