Sayup dicorong telefon, suara abah mengah. Tercungap-cungap.
Hati saya berdebar kencang.
“abah, kenapa? Sihat ke tak ni?” gusar menerpa
“eh tak ada la.abah sihat sokmo.”
“kenapa nafas macam tersekat-sekat.macam baru lepas berlari” saya dipagut bimbang.
Pecah ketawa abah.Barangkali fikir saya bergurau.Khabarnya,
sore tadi banyak bekerja, menambah pasir kristal pantai depan rumah.Menambah
‘sutuh’ dibelakang, dan membakar lalang diluar pagar.Itu pun saya risik melalui
mama.Abah abah.sama seperti dulu.berahsia.
Abah makin sibuk sekarang. Mengerah kudrat tuanya demi putri
sulungnya yang bakal menamatkan zaman bujangnya di pertengahan Rejab ini.
Mengenangkan ini saya lantas teringat esakan kecil kakak tempoh
hari.Tentang abah. Ah barangkali beliau tertekan.Atau barangkali beliau belum khatam benar sifat abah.
Perlahan saya tiupkan kembali semangat dan berfikir positif. Sempat saya
berseloroh, ambillah buku Men From Mars, Women from Venus karya John Gray di
rak buku kesayangan saya. Walaupun kandungan tersebut bukan semuanya tepat, tapi
masih banyak benarnya. Belajar memahami bahasa lelaki.Di samping perlu panjangkan
lagi rukun taaruf dan tafahum dalam usrah ini.Bukan kerana abah seorang.Tapi
pada abang,saudara, sahabat, orang sekeliling bahkan pada bakal zaujnya. Lucunya, dia sedikit
hairan bagaimana saya memiliki buku tersebut!
Saya jadi teringat pepatah orang lama “seorang ibu boleh
menjaga 10 orang anak dengan baik sehingga besar, namun belum tentu dalam 10 orang itu, seorang anak mampu
menjaga seorang ibu”
Maka saya analogikan “seorang abah boleh faham sifat dan
karenah 10 anak-anaknya, namun seorang anak belum tentu memahami /bertahan
dengan karenah abah”
Panggilan kali ini kerana seperti tahun sudah. Hari ini sejarah buat abah dan mama.
“ Abah selamat hari lahir yang ke 61 dan selamat ulang tahun
perkahwinan yang ke .. err”
“26” pintas abah.kami ketawa serentak. Bahagia.
“semoga pertambahan umur ini, abah dikurniakan rezeki yang
melimpah ruah, bertambah amal dan moga jodoh dengan ma berpanjangan di syurga”
“amin amin amin,terima kasih” berulang abah mengaminkan doa.
“erm abah nak hadiah apa?”
Dalam nafas yang bersisa tercungap-cungap,abah membalas,”
ish abah tak mahu apa2 la. Jangan susah-susah. Doa untuk abah dan ma pun dah
cukup.” Jawapan yang sama seperti tahun –tahun sudah.
Saya tdak dapat meneruskan perbualan lama-lama. Nafas abah
tercungap-cungap mengusik perasaan saya. Kolam mata sudah bertakung menahan
sebak.
Allahu Allah. Usia abah sudah melepasi setengah abad. Sungguh pantas masa
berlalu. Menghitung diri ini yang masih banyak tanggungjawab pada abah tak
tertunai. Pastinya pengorbanan abah dan mama tidak sama setimpal dengan nilai
kecil yang disumbangkan oleh anak-anak. Apakah saya mampu setabah Uwais al Qarni dalam membalas jasa kedua
orang tuanya?
Hanya satu yang abah pinta. Dan permintaan itu diulang sama
sewaktu saya di Tingkatan 4.kini diulang kembali sehari sebelum kaki menjejak
selatan tanah air. Buat sekian kalinya, saya meninggalkan orang tua jauh demi
seteguk ilmu. Bumi yang tidak pernah ada dalam rancangan hidup saya. Apatah
lagi kegusaran abah bertamu apabila anaknya makin menjauh dari mata.
“Kalau abah tak ada nanti, tengokkan lah adik-adik. Abah
didik adik-adik ni tak sama dengan apa yang abah buat pada kalian yang
atas.kena ikut zaman. Mungkin abah buat sekarang, adik-adik tak berkenan dengan
cara abah. Jadi yahlah kene ganti tempat abah ,tengok kan adik-adik kalau abah tak
ada nanti”
“Abah kenapa abah cakap macam ni.Memang tanggungjawab yah
tengok adik-adik,insha Allah", mata saya sudah bergenang.
“Abah bukan apa.takut anak-anak kecil hati. Yah kene jadi
contoh adik-adik. Abah tak ada banyak harta nak tinggal .Harta abah guna untuk
ilmu anak-anak abah”
Masha Allah.Sungguh, abah berusaha menyenangkan hati anak-anak.Kemas-kemas saya pegang pesanan abah.Saya terus meluru masuk bilik menghamburkan tangisan. Mudah
benar jiwa tersentuh dengan kata-kata abah.
Kini, Abah tetap abah.pendiam.berahsia.tegas.bezanya, tidak
garang seperti dulu. Bezanya,abah tidak secergas dahulu.
Abah adalah lelaki yang walaupun tidak tahu menunjukkan
kebaikan dengan kata-kata, tetapi abah masih memiliki kemuliaan hati dan
kebaikan.
Kebaikan itu bukan pada kata-kata…kerana sifat itu adalah
kebaikan.
Bingkisan rasa khusus untuk abah tercinta
Selamat meyambut tahun kelahiran abah ke 61 & selamat ulangtahun perkahwinan ke 26
6 April 2013