Friday, July 26, 2013

Bicara Ramadhan




Untuk kesekian kalinya kita bersama-sama dalam iftar jama’iyy yang diisi dengan sedikit tazkirah mengenai kebesaran Ramadhan, memaknai Ramadhan sebagai satu proses tarbiyyah bagi kader gerakan Islam yang tentu saja menyikapi Ramadhan secara yang sangat istimewa; tidak seperti orang awam menyikapi Ramadhan. Seperti yang sama-sama kita maklumi, Ramadhan juga disebut ‘syahrul Quran’ – bulan Quran – bulan yang mana kita akrab dengan al Quran – yang Tuhan menyebut tentang golongan yang akrab dengan al-Quran itu dalam ayat 79 Surah Ali Imran,

A079 

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.  
 
Mempelajari dan memasyarakatkan al Quran, itulah kerja kaum rabbaniyyin. Siapa pula rabbaniyyin ini – datangnya dari istilah rabbaniyy yang mengakar dalam surah ini, dan ditafsirkan oleh al-Ghazali sebagai manusia yang dekat dengan Allah – qariban; yang dulu-dulu ketika kita masih muda – kita menggunakan ungkapan “al-jilul rabbaniyyul multazim – generasi rabbaniyy yang komited – manusia rabbaniyy yang akrab dengan Allah – melakukan taqarrub atau menghampirkan diri dengan Allah – dan kedekatan tersebut mencapai martabat rabbaniyy dengan erti dekat dengan Allah – iaitu manusia yang mencitrakan dirinya dengan sifat-sifat Allah, sejauh yang tercapai sesuai dengan sifat keinsanannya.

Asma-ulhusna bukan sekadar sebuah nasyid, tetapi mengandungi nilai-nilai yang harus dihayati oleh kehidupan insani – dalam erti dekat dengan Allah – manusia yang menghayati sifat ketuhanan dalam batas dan kudrat keinsananannya. Itulah yang dimaksudkan berakhlak dengan akhlak Allah – dan akhlak Allah itu ialah nama-namaNya seperti yang tersenarai dalam asma-ulhusna itu. Apabila disebut bahawa akhlak Ar-Rasul junjungan kita adalah al-Quran bererti Rasulullah s.a.w. itu adalah Quran hidup – di mana penghayatan sifat-sifat keindahan Allah itu pada dirinya – kerana tidak ada halaman al-Quran yang tidak ada nama Allah – malah kadang-kadang dalam satu ayat disebut berkali-kali nama Allah – yang paling banyak nama Allah ialah ayat kursi. Jadi apabila ar-Rasul s.a.w berakhlak dengan akhlak al-Quran, antaranya bermaksud menghayati nama-nama Allah yang disebut dalam al- Quran itu. Biasanya al-Quran apabila menyebut sesuatu tema, ayat itu akan menyimpul dengan misalnya “innahualimunhakim” – yakni dikunci dengan nama-nama Allah yang harus dihayati dalam batas kemanusiaan –menjadi manusia rabbaniyy dan sekaligus manusia Qur’aniyy. 

Demikianlah asmaulhusna sebagai sumber nilai pembentukan manusia peribadi rabbaniyy – makhluk yang mencerminkan fitrah ketuhanan – image of God – menyebut Tuhan menciptakan Adam menurut imejnya. Pada diri manusia itu ada imej ketuhanan, apabila dia menghayati sifat-sifat Tuhan dalam batas kemanusiaan. Apakah boleh demikian? Nabi diterangkan begitu – misalnya dalam Surah at-Tawbah ayat 128, “Sungguh, telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan yang kamu alami, (dia) sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman,”(Ra-u-funRahim), jelas-jelas Ra-u-fun Rahim itu nama Tuhan, tetapi yang memakainya dalam ayat ini ialah Rasul, ertinya Tuhan mengiktiraf Ar-rasul telah menghayati sifat Rauf dan Rahim dalam batas kemanusiaan. Itulah manusia sebagai pembawa the image of God, citra ketuhanan. Para ulama Islam ketika membahas persoalan ini, seperti Qadhi Abu Bakar ibnu Arabiyy – ketika beliau menyebut tentang manusia sebagai makhluk “ahsanitaqwim” – sebaikbaik kejadian – ketika mengupas maksud tafsiran manusia itu adalah sebaik-baik kejadian – katanya, manusia itu sejatinya mempunyai sifat mendengar, berkata-kata, berilmu, bijaksana dsbnya, dan bahawa semua ini adalah sifat-sifat Tuhan yang dikurniakan kepada manusia dalam batas kemanusiaannya. Itulah maksud Allah menciptakan Adam menurut imejnya.

Demikian juga seperti disebut oleh Abdul Karim Jili dalam kitabnya, bahawa sifat-sifat Allah swt seperti hayyan, samian, basiran, qadiran – dihujungnya disebut , “demikian jugalah insan – manusia ini dalam batas kemanusiaan adalah pembawa citra ketuhanan. Oleh yang demikian, jangan kita mentertawakan nama-nama Jawa seperti Basiran, Samian, Qadiran, sebab walaupun Samian itu misalnya, nama tuhan, tetapi manusia juga harus punya sifat itu dalam batas kemanusiaan. Sekarang baru tahu kenapa orang Jawa suka nama-nama seperti itu; selama ini kita berdosa mentertawakan mereka.

Saya angkat persoalan ini dalam konteks memahami al-Quran sebagai kekuatan transformatif yang menakjubkan, dan ini sangat relevan ketika berlaku dehumanisasi yang berleluasa, yang menurut bahasa al-Qurannya ialah asfalasa filin – thumma radadnahu asfalasa filin- kemudian kami jadikan dia di kalangan makhluk bawahan – yang menurut bahasa sosiologinya ialah dehumanisasi – penghakisan nilai-nilai kemanusiaan hingga manusia hilang sifat kemanusiannya – hilang citra ketuhanan pada dirinya maka jadilah ia asfalasafilin – inilah fenomena yang kita hadapi sekarang iaitu berleluasanya dehumanisasi – asfalafilin – dan dalam konteks ini bagaimana al-Qur’an boleh dimanfatkan sebagai kekuatan transformatif, iaitu kekuatan perobah – melihat daya robah al-Quran dalam mencipta manusia baru “a transformed-man”. Selalu orang membicarakan i’jaz al-Qur’an – kemukjizatan al-Quran dalam bidang bahasa, sains, perubatan tetapi yang jarang dibicarakan ialah mukjizat daya robah al-Quran; bagaimana al-Quran itu punya daya robah yang menakjubkan sehingga tiada manusia yang sekeras manapun yang tidak dihancurluluhkan oleh al-Qur’an. Kalau gunung yang pejal itu boleh runtuh dan luluh andainya al-Qur’an diturunkan kepadanya, apalah hati manusia.

A021

“Sekiranya kami turun al-Quran itu kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah kerana takut kepada Allah.”(al-Hasyr: 21) – batu sepejal batu gunung boleh pecah, apalah hati manusia.

Dalam peristiwa pengislaman Umar al-Khattab – setelah beliau membaca surah Ta-Ha, berlaku perobahan yang sangat dramatic. Selama ini Umar adalah musuh Islam yang paling ketat, permusuhannya itu dahsyat sekali – dan public opinion mengatakan tidak mungkin orang seperti Umar masuk Islam; malah kata mereka kaldai al-Khattab itu lebih mungkin masuk Islam daripada Umar. Ertinya, Umar akan masuk Islam kalau himarnya masuk Islam lebih dahulu – pandangan umum ketika public masih punya opinion. Tetapi i’jaztaghyir menafikan apa yang dipercayai oleh public opinion tersebut setelah Umar masuk Islam hanya dengan membaca beberapa ayat dari surah Ta-Ha – ayat yang meluluhkan hati Umar yang keras. Oleh yang demikian, selepas ini janganlah siapa-siapa cakap orang ini atau orang itu keras, kerana tidak mungkin dia lebih keras daripada Umar; janganlah cepat menyumpah orang sampai tujuh keturunan.

Untuk merealisasikan al-Qur’an sebagai mukjizat daya robah itu, kita harus menyikapi al-Quran dengan betul. Kalau sikap kita terhadap al-Qur’an tidak tepat, tidak mungkin kita dapat sesuatu yang bererti dari al-Qur’an. Orang dulu baca al-Qur’an; orang sekarang juga baca al-Qur’an; tetapi kenapa kesannya berbeza? Inilah fenomena yang disebut oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali bahawa generasi silam apabila mereka baca al-Qur’an, mereka ikut terangkat mencapai benchmark al-Qur’an, yakni mereka berusaha untuk mencapai standard al-Quran. Tetapi apabila kita membaca al-Qur’an, kita tidak melonjak mencapai standard al-Quran – bahkan sebaliknya kita perturun, merendahkan standard al-Qur’an itu
sama dengan kita. Bukan kita yang naik,tetapi al-Qur’an yang diturunkan. Bila disebutkan ayat-ayat tentang sifat orang beriman, bahawa untuk mereka disediakan syurga (seperti Surah Ali-Imran ayat 133 “Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa) kita hendaklah sedar bahawa kita masih sangat jauh dari memenuhi tuntutan ayat itu. Kita harus berusaha mencapai standard al- Qur’an yang tinggi, bukan merendahkannya, atau membawa al-Qur’an itu turun serendah tahap kita.


Orang dulu membaca al-Qur’an lebih banyak dari kita, tetapi kadang-kadang tidak pula mesti banyak; ada ketikanya mereka baca tidak banyak, sebatas beberapa ayat saja. Kalau kebetulan ketika itu, dia melintasi ayat yang dirasakan sangat touching, dan apabila dia menemukan ayat seperti itu, dia akan ulang, bahkan sampai semalaman; terpaku pada ayat yang sama dan tidak bergerak ke ayat yang lain. Itulah yang terjadi dalam pengalaman Khalifah Arrasyidin kelima – Umar Abdul Aziz yang terkenal dengan keakrabannya dengan al-Qur’an. Dia ‘amirulmukminin,seorang yang sangat sibuk, tidak seperti kita yang pura-pura sibuk sehingga tak sempat iftar jama’iyy. Umar Abdul Aziz, pentadbir yang sangat sibuk, tetapi dalam kesibukan itu, dia tak pernah dalam sehari tanpa membaca al-Qur’an. Pada hari yang paling sibuk, dia baca satu atau dua ayat (kalau tidak, dia baca satu surah atau dua surah), kemudian dia menyatakan, “Mudah-mudahan dengan menyempatkan diri membaca satu atau dua ayat ini, aku terkeluar dari golongan yang meninggalkan al-Qur’an. Ayat ini diambil dari al-Qur’an, kata-kata yang diucapkan ini, ialah apabila Nabi s.a.w. mengadu kepada Allah swt, “Bahawa sebahagian kaumku telah meninggalkan al-Qur’an.” Bagaimana kalau yang diadukan oleh Rasulullah s.a.w itu adalah kita, tak terfikirkah kita bahawa kemungkinan kita yang diadukan oleh Rasulullah itu kepada Tuhan – bahawa umatnya telah meninggalkan al-Qur’an. – Beliau sangat terkesan dengan ayat ini dan itulah yang membentuk sikapnya, terkesan dengan al-Qur’an sedang kita hanya tilawah dan tadabbur dan tahfiz tetapi kurang dalam aspek terkesan dengan al-Qur’an. Membaca al-Qur’an tak susah, terutamanya dalam tadarus orang Melayu yang dengan mudah saja khatam, apakah dia benar-benar khatam, tetapi daripada tidur tak tentu fasal, bacalah al-Qur’an. (Mentang-mentanglah apabila dikatakan bahawa orang yang berpuasa itu, tidurnya pun dikira ibadat, maka itu sajalah yang diambil buat pegangan.) Menghafal al-Qur’an pun tak susah sangat – yang susah itu mempertahankan hafalan tersebut, itu yang susah. Saya tak percaya setiap orang yang dipanggil al-hafiz itu betul-betul hafiz; kalau tak ada disiplin, tengok raja lawak. Seorang hafiz kena disiplin, kalau dia kompromikan, habislah hafalannya. 

Itulah yang terkesan pada diri Umar Abdul Aziz. Tetapi, untuk beliau bukan hanya ayat itu. Satu kali dia membaca tentang senario hari akhirat di mana Tuhan memerintahkan malaikat untuk menghimpunkan orang-orang zalim; dia merasa seolah-olah seperti dia yang dihimpunkan dalam senarai orang zalim itu, dan bukan saja orang-orang zalim itu, tetapi juga isteri-isteri mereka. Kenapa isteri juga dilibatkan? Ini kerana sebahagian daripada keputusan zalim itu datangnya dari isteri; ada orang jadi zalim kerana ikut cakap bini, banyak juga orang takut sama bini sampai ada pantun Melayu – “apa guna keris tersilang, kalau takut sama bini.”

Umar Abdul Aziz membaca ayat ini, dan merasa seperti dia yang dimaksudkan oleh ayat tersebut. Dia merasa takut dan sepanjang malam itu disitulah matanya tertumpu dan tak beralih ke ayat lain. Dia hanya sedar apabila muazzin melaungkan azan subuh. Membaca al-Qur’an tak semestinya banyak, tetapi mereka terkesan dengan al-Qur’an. Satu lagi contoh tentang terkesan dengan al-Qur’an ini ialah kisah Asma binti Abi Bakar – kepada kaum ibu ingin saya hadiahkan sebuah kisah tentang Asma. Satu hari ketika dia membaca al-Qur’an, dia bertemu dengan ayat 25-27 Surah 52: At-Tur.

A026A025A027 

Ketika Asma membaca ayat ini, dia sangat terkesan kerana ayat ini menyebut nanti disyurga, penduduk syurga apabila bertemu, mereka berhadapan satu sama lain dan bertanya (ayat 25) – macam mana kamu boleh masuk syurga ini – mungkin ada yang tak disangka-sangka, sebab di dunia juga banyak benda yang kita tak sangka berlaku seperti teman kita jadi ful lprofessor; compared to last time when he was a fool – al-Qur’an membayangkan bahawa warga syurga saling bertanya, “Apa yang kau kerjakan di dunia dulu sehingga kau layak masuk syurga.” Maka jawapannya mungkin, “Kami rajin usrah dulu, kami usrah selama 40 tahun, itukah? atau setiap Ramadhan kami mendermakan sekampit beras berbanding dengan orang lain yang menyumbang 10 kampit pada waktu pilihanraya secara tak ikhlas – tentu tak sama antara keduanya – mereka memberi jawapan seragam, “ Bahawa dulu kami ketika masih di dunia, ketika masih bersama keluarga, kami merasa sangat takut diazab,” takut dengan perkara-perkara seperti penyelewengan, kejahatan, kemungkaran, kami takut bukan takut yang dibuatbuat, tetapi betul-betul takut (ayat 26). Itulah, bila sampai ayat ini Asma tak beranjak ke ayat lain – dia baca lalu berdoa – berkali-kali – “maka Allah memberikan kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka” (ayat 27). Ketika itu dia didatangi oleh seorang tetamu. Lama dan letih sekali tamu itu menunggu hingga Asma selesai, namun tidak kunjung selesai juga, maka dia mengambil keputusan untuk melaksanakan urusan lain dulu – ke pasar, selesai urusan akan mengunjungi Asma semula. Urusan di pasar tentu saja lama dan bagi orang lelaki, yang paling tidak sabar ialah menemani isteri ke pasar; bayangkan kalau dia ada 3 isteri dan semuanya meminta ditemani ke pasar; tak sama dengan urusan mengundi yang sekejap saja, tak sama dengan mencuci dakwat kekal. Selesai urusan di pasar, dia pulang dan singgah sekali lagi di rumah Asma; ketika dia sampai sesudah sekian lama di pasar, Asma masih seperti tadi, masih di ayat itu, masih berdoa seperti tadi. Itulah Asma – cara Asma membaca al-Qur’an – atta-thurbilQuran – membaca hingga terkesan sampai berjam-jam, terpaku pada satu ayat, dua ayat.

Satu lagi di kalangan tabi’in, seorang yang bernama al-Ahnaf bin al-Qais, yang merasa sangat excited apabila membaca ayat 10, Surah al-Anbiya’, “Sungguh telah Kami turunkan al-Qur’an yang di dalamnya terdapat pemerian tentang kamu, maka apakah kamu tidak mengerti?” Kata kunci di sini ialah dalam kitab itu ada sebutan tentang kamu – (you are mentioned in the Qur’an) – siapa yang tak excited, padahal kalau masuk gambar sipi-sipi dalam surat khabar pun sudah meluru mencari– apatah lagi dalam al- Qur’an, bahawa kamu disebut dalam al-Qur’an, iaitu sifat dan ciri pelbagai golongan di kalangan manusia, telah menggerakkan al-Ahnaf untuk mencari dirinya dalam al-Qur’an – kamu disebut, tetapi tak tahu di mana, mendorong dia mencari dirinya dalam al-Qur’an – di mana aku – dari ayat ke ayat, dari surah ke surah. Di Surah An-Nisa’ ayat 145 “Sungguh, orang munafiq itu ditempatkan di tingkat paling bawah dalam neraka,” spontan katanya itu bukan aku. Dia yakin – Aku tak seburuk itu, tak sejahat itu. Setelah itu dilanjutkan perjalannya mencari diri hingga ke surah al-Anfal ayat 2, “Sesungguhnya orang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah kuat imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal,” dia dengan rasa sedih dan kesal berkata itu juga bukan aku – aku tak layak masuk golongan itu.

Pencariannya diteruskan sehingga bertemu Surah at-Tawbah ayat 102,

A102

“Dan ada pula orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampur pekerjaan baik dan buruk, semoga Allah menerima taubat mereka..” – matanya terpaku pada ayat tersebut – mengamati kata demi kata dan al-Ahnaf yakin dia telah menemui dirinya pada ayat itu – segolongan orang yang mengaku dosa-dosanya dan mencampurkan amal salih dengan amal yang buruk – ibadat dia buat, tetapi kejahatan dia tak tinggal juga, sekampit beras dia beri, tetapi duit kopi dia ambil juga. Bukan rasuah katanya, padahal keduanya serupa. Buat baik juga, tetapi kejahatan dan kemungkaran dia buat juga. Itulah aku. Dia menemui dirinya… “Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”

Kalau anda yang mencari diri, anda menemui diri di mana? Barangkali di sini juga – usrah juga tetapi mengata orang tak ada reserve. Sebagai penutup marilah kita memberikan perhatian kepada al-Qur’an – kerana percayalah bahawa sebanyak mana perhatian kita kepada al-Quran, sebanyak itulah al-Qur’an akan membuka rahsianya kepada kita. Kefahaman terhadap al-Qur’an ituakan kita peroleh sejauh perhatian yang kita berikan kepadanya; kalau tiada perhatian, tak akan bertambah kefahaman kita sampai bila-bila. Rahsia al- Qur’an itu dicurahkan apabila dibaca selepas waktu tengah malam, lebih banyak rahsia itu di revealed waktu malam berbanding siang, khususnya malam Ramadhan seperti yang kita jalani sekarang.

Terima kasih di atas perhatian saudara-saudara.
 
oleh Dato Dr Siddiq Fadzil
sempena Iftar Jama’iyy
20hb Julai 2013 di Kompleks Dar al Hikmah.
(Catatan oleh Hj Mohd Asri Abdul, Pengerusi Wadah Wilayah Persekutuan)