Syair
Arab pernah berbunyi : ‘Hendaklah engkau menjaga pertengahan dalam segala
urusanmu, kerana pertengahan itu jalan yang paling baik menuju kebahagiaan,
maka janganlah engkau berlebihan atau kurang kerana kedua-duanya adalah
tercela’.
Dasawarsa
ini, isu wasatiyyah (moderate)
semakin mendapat tempat dan perhatian, malah merupakan salah satu agenda pemerintah
masa kini. Namun, penentuan ukuran wasatiyyah
seringkali menimbulkan polemik dalam masyarakat, terutama kepincangan memahami
dan menghayati dalam konteks agama yang sebenar. Malah, seringkali juga
aplikasi ini bersifat musim-musiman dan hanya dimanifestasi apabila timbulnya
gejala ektremisme keagamaan dengan pelbagai jelmaanya.
Jika
ditelusuri sejarah, gagasan wasatiyyah
sebenarnya sudah lama diperkenalkan oleh ulama’ kontemporari masa kini, iaitu
Sheikh Yusuf al-Qaradawiy yang memberikan garis panduan lengkap dalam ma’alim al-fikr al-wasatiy (taanda-tanda
petunjuk moderat). Ulama’ ini juga konsisten dalam menolak kekerasan dan
keganasan berdasarkan fatwanya dalam fiqh
al-muwazanat (fiqh pertimbangan) dan fiqh
al-awlawiyat (fiqh keutamaan). Konsep wasatiyyah
inilah juga turut diperkenalkan dalam salah satu gagasan (gagasan ke-4) PKPIM/ABIM
sekitar tahun 70-an lagi, yang mengambil pendekatan yang sederhana dan tepat
dan menjauhi segala bentuk kecenderungan yang melampau. Bagi Muhammad Imarah
(1992), wasotiyyah atau moderasi, tidak harus digambarkan sebagai posisi antara
dua kutub, atau satu titik geometri. Moderasi sebenarnya lebih membawa makna
suatu pendirian ketiga yang mengintegrasikan segala yang terdapat pada
kedua-dua kutub itu secara proportionate; seimbang dan harmonis.
Sifat
sederhana ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:“
Sebaik-baik urusan ialah sederhana”. (Riwayat al Baihaqi) dan sabdannya lagi “
Sebaik –baik amal ialah berkekalan walaupun sedikit”. ( Riwayat Bukhari dan
Muslim). Kita dianjurkan untuk besederhana dalam dalam beramal. Baik dari sudut
duniawi mahupun ukhrawi. Konsep sederhana itupun harus di fahami dengan jelas
agar tidak disalahertikan. Sederhana bukan bermaksud separa penuh, tetapi kerja
atau amalan yang diperintahkan Allah harus dilaksanakan bersungguh-sungguh.
Maknanya, jika kita melaksanakan solat fardhu, lakukanlah dengan sempurna
dengan menjaga ketertiban solat dari awal hingga akhir solat. Begitu juga dalam
konteks membangunkan kehidupan ummat, perlu dilakukan dengan serius dan
mengikut syariat Allah. Contohnya, jika berniaga, lakukanlah dengan niat
memenuhi tuntutan fardhu kifayah,di samping tidak lalai dalam menunaikan solat
dan zakat. Dalam konteks dakwah misalnya, kita harus seimbang dalam
menyampaikan mesej agama Islam. Dalam usaha kita menyeru kepada
kebaikan,maka mencegah kemungkaran juga hendaklah dilakukan serentak. Ini kerana,
seringkali kebanyakan daie banyak tertumpu kepada program kepada mengajak
kepada kebaikan, tetapi lupa/kurang memberi tumpuan dalam menutup ruang-ruang
kemungkaran. Justeru,meletakkan keseimbangan antara mengajak kebenaran dan
mencegah kemungkaran akan menghasilkan kesejahteraan ummat yang dicita-citakan
(Dr Siti Zzalikha Md Nor,Himpunan Helwa Kebangsaan 2013).
Namun,
jika dilihat fenomena yang biasa dalam
masyarakat Melayu Islam adalah melaksanakan urusan dunia dengan ala kadar
sahaja dan memperbanyakkan amal ibadat dengan harapan amal ibadat yang
dilakukan menjadi ganjaran yang tidak disangka-sangka. Lalu dengan pegangan
ini, masyarakat Melayu Islam tidak serius dalam membina ketamadunan dunia. Jika
urusan yang dilakukan tidak mendapat hasil yang memuaskan, maka takdir pula
disalahkan : “Apa boleh buat, sudah nasib”..”Ermm, tak ada rezeki, dah
takdir”..
Begitu
juga dalam konteks seorang pelajar, dalam usaha mahsiswa/si yang terlalu komited dengan urusan dakwah, jangan
lupa untuk lebih serius dalam menuntut ilmu, bahkan itulah peranan utama kita
sebaik pertama kali melangkah ke menara gading. Ya benar, firmanNya berbunyi “
Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Dia akan menolongmu”. Tetapi harus
diingatkan pertolongan Allah dikurniakan pada hambaNya yang ikhlas,
bersungguh-sungguh dan tawakkal serta mengharapkan keredhaanNya.
“ Dan orang yang berusaha dengan
bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak Kami, sesungguhnya kami pimpin mereka ke jalan-jalan Kami ( yang
menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya
pertolongan dan bantuan Allah beserta orang yang berusaha membaiki amalannya".(surah
al ankabut 29: 69).
Dalam
kaitan ini, saya tertarik tulisan Ustaz Siddiq Fadzil dalam bukunya “Islam dan
Melayu:martabat umat dan daulat rakyat” yang menulis ciri wasatiyyah harus
diaplikasikan secara nyata dalam sistem pendidikan negara dengan menekankan
pembinaan watak seimbang menerusi kurikulum yang seimbang: rohani dan jasmani,
intelektual dan moral, prestasi akademik dan kecintaan terhadap ilmu. Kegagalan
melaksanakan pendidikan wasotiyyah telah mengakibatkan lahirnya generasi yang
hilang keseimbangan: berpelajaran tetapi tidak berpendidikan, berotak tetapi
tidak berakhlak, hanya mengingat fakta tetapi tidak mampu menyelesaikan
masalah, hanya tahu meminta-minta (pekerjaan) tetapi tidak mampu mencipta
pekerjaan.
Justeru,
konsep wasatiyyah perlu difahami dalam ertikata yang sebenarnya, dan ciri-ciri
wasatiyyah harus dimanifestasikan sepenuhnya dalam semua bidang kehidupan baik
politik, ekonomi, pendidikan, dakwah dan sebagainya.
************************************
"wasatiyyah tonggak kesatuan ummah" tema besar Mahrajan Cinta Rasul UTM. mari penuhi taman-taman syurga minggu ini :)
dari pagi sampai ke malam..Allah padat sungguh kuliah tafaqquh..jika diikutkan hati mahu saja berkampung disini!(wasatiyyah?)..huhu.