Syukur. Gembira. Sebak
Perasaan ini bercampur baur saat
kaki mencecah bumi kuantan. Masjid UIAM, mahallah, sahabat-sahabat seperjuangan
dan adik-adik BaitulHusna..Semuanya menari-nari ditubir mata. Ah rindunya UIAM
dan orang-orangnya. Tidak sabar menanti mereka yang saya rindui.
Musafir saya ke Kuantan dengan
dua tujuan:
Pertama, memenuhi jemputan ke Conference
on Volunterism: A Long Life Inspiration. Insan yang bakal berucap tidak lain
dan tidak bukan ialah Madam Martinelli Hashim, insan yang saya kagumi. Selama ini
saya hanya mengikuti beliau di laman blog dan Facebook, dan kali ini saya berharap dapat
bertemu mata dengannya. Saya harus mengambil manfaat dari insan hebat ini.
Begitu jua Dr Samsul, seorang doktor perubatan dan aktivis kemasyarakatan yang saya hanya
mendengar kehebatan beliau melalui sahabat-sahabat dari bidang perubatan.
Kedua, tidak lain kerana rindu
dengan sahabiah seperjuangan.
Jam 12.3o pagi..Saya sabar
menanti sahabat mengambil di perhentian bas. Sementara itu,mata menjamu keletah
manusia-manusia yang masih cergas ke sana ke mari dengan urusan yang tidaklah
saya tahu. Saya tertanya-tanya gerangan apa terlalu banyak khemah-khemah
didirikan dengan gerai beraneka jenis?Ah mungkin ada peristiwa besar sedang berlangsung
disini barangkali.
Dan perlahan-lahan beberapa gerai
melabuhkan tirai.Saya makin resah menunggu.Kelibat jauh saya terlihat beberapa
lelaki ‘menakutkan’ berjalan datang melintasi tempat saya menunggu. Saya berdoa
bersungguh-sungguh. Saat itu juga saya memarahi diri kerana bermusafir seorang
diri di penghujung waktu. Saya berdoa dan terus berdoa.
Alhamdulillah thumma
Alhamdulillah..
Kelibat sebuah motosikal
mendatangi dan menurunkan seseorang. Barangkali menghantar sahabatnya ke stesen
bas.Saya berdoa berharap ‘orang motosikal’ itu menyelamatkan keadaan ini.
Allahu Allah. Syukur. Orang motosikal itu ialah sahabat seperjuangan yang saya
hormati dan kagumi. Masakan tidak saya kagumi, kerna orang hebat seperti beliau
bakal menjadi panel dalam forum Muslim Youth Convention esok hari!. Ah sahabat
ini, masih ada lagi aura kepimpinan walau sudah tidak lagi berada dalam saff
pimpinan Kuantan. Terima kasih Tuhan menghantar sahabat penyelamat keadaan.
................................................................................................
“Dan infakkanlah (hartamu) di
jalan Allah, dan janganlah kamu jatuhkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan
dengan tangan sendiri, dan berbuat baiklah.Sungguh, Allah menyukai orang-orang
yang berbuat baik” Surah albaqarah:195
Ayat diatas merujuk kepada panggilan ummah (ummatic call) kata Madam Martenelli, memulakan bicara beliau. Volunterism (sukarelawan) didefinasikan beliau
sebagai dakwah. Untuk mencapai dakwah harus melalui 3 syarat. Dan syarat itu
perlu melengkapi antara satu sama lain;
1.Peluang
2.Kebolehan
3.Minat
Madam Martinelli Hashim |
Saya terkelu mendengar ceritera perjuangan
dakwah beliau. Daripada bergerak berseorangan sehinggalah berjaya menubuhkan
Censerve (mengandungi 16 persatuan yang aktif) sebuah badan yang
bertanggungjawab dalam bidang kesukarelawan di UIAM. Madam Martinelli sudah didedahkan
dengan dunia kesukarelawan sejak usia 15 tahun tanpa dipinta sesiapa. Beruntung
kerna masa mudanya sudah tahu berbakti untuk ummat. Mengenang kembali saya di
usia seperti itu sedang apa ya?
Dan kerja dakwah beliau ini diteruskan
sehingga ke hari ini. Saya
tertanya-tanya bagaimana mungkin beliau boleh mengurus kerja dakwah sedang masa
yang sama harus mengurus keluarga, kerja, suami dan anak-anak. Jika dikira
tuntutan beliau sebagai isteri, ibu, anak (kerana ibunya tinggal bersama
beliau), pekerja dan daie memerlukan komitmen yang tinggi dengan keterbatasan
waktu membahagikan semua tanggungjwab ini. Saat itu beliau memaklumkan hujung
minggu ini ada 60 program sedang berlangsung serentak di sekitar Pahang, Gombak
dan Kuala Lumpur. MasyaAllah! Ini sudah luar biasa. Beliau sambil berseloroh
(saya menganggap ini serius) menyebut, kerja dakwah perlu ada kefahaman dari
pasangan, dan pemilihan pasangan yang faham dan serasi perlu jika kita mahu
serius meneruskan jalan ini.
Sungguh manusia ini banyak memberi inspirasi
pada saya. Jauh di hati kecil saya bertanya, mampukah diri menjadi seperti
beliau?
KAROMAH DAN ISTIQOMAH
Dalam
menggerakkan kerja dakwah, jika ikhlas pasti Allah memudahkan urusan. Ceritera
seperti mendapat nikmat seperti yang tidak disangka-sangka,baik berbentuk wang,
masa, tenaga sudah banyak saya dengar dari senior-senior dan orang-orang hebat.
Misalnya saya pernah mendengar bahawa beliau bakal menghadapi peperiksaan
penting esok hari, tetapi hari ini masih lagi bertungkus lumus dengan aktiviti
kemasyarakatan. Tapi Allah memudahkannya beliau menjawab perperiksaan dengan
mudah dan keputusan yang diperoleh juga memberangsangkan. Begitu juga ada yang
bercerita bahawa beliau dalam kesempitan kewangan namun Allah mendatangkan ‘tangan-tangan’ yang
memberi. Semua itu perlu keikhlasan. Dan kenikmatan-kenikamatan itu dinamakan
karomah menurut Dr Samsul. Berulang-ulang kali beliau menegaskan, kita buat kerja dakwah
bukan kerana karomah, tetapi apa yang penting ialah doa dan istiqamah. Beliau
menyatakan kebimbangan, takut-takut karomah yang diperoleh, dipertontonkan dan
ia akan menimbulkan
rasa ujub, takabbur dan rasa riak. Hasilnya, orang akan buat kerja dakwah dengan
sebab untuk mendapatkan karomah dan bukan istiqamah. Namun, beliau berpesan
tidak salah menceritakan kenikmatan disebalik
kerja dakwah kerana boleh jadi ia memberi inspirasi, motivasi, pengajaran malah teladan untuk
terus istiqamah dalam jalan dakwah.
Dr Samsul:Aktivis |
Ada 3 perkara penting dalam
kerja dakwah menurut Dr Samsul;
1-networking
2- kebolehan
3-minat
Saya bersetuju bahawa networking
penting dalam kelangsungan sesuatu kerja dakwah. Networking juga ditakrifkan
beliau sebagai berjemaah. Pentingnya bergerak dalam jemaah kerana segala
keputusan gerak kerja dan masalah dapat diatasi bersama.Menurut beliau tidak
salah jika mahu bergerak sendirian namun bimbang apa yang difikirkan, diputuskan
dan dibuat mengikut hawa nafsu.Pernah beliau dipanggil pihak pentadbiran
atas ‘kesalahan’ membuat aktiviti kesedaran dan qiam kepada warga mak nyah di masjid
dengan alasan masjid tempat suci untuk beribadat dan keberadaan golongan tersebut boleh mencemarkan kesucian masjid. Ah
saya sudah terbakar mendengar berita ini! Betapa sempitnya pemikiran dengan
memperkecilkan peranan masjid sedekimian rupa. Dengan tenang beliau membalas,
keputusan mengadakan program ini adalah keputusan syura dan tidak boleh
dipersalahkan atas bahunya semata-mata. Akhirnya, isu tersebut ditutup serta
merta. Begitulah besarnya peranan dalam jamaah dalam usaha menggerakkan aktiviti dakwah.
Saya memandang networking itu
penting saat saya sudah melangkah keluar dari bumi UIAM. Kerana saya bimbang
keaktifan saya ke usrah,tamrin dan program lapangan ketika dipengajian
akan terhenti dan 'beku' setelah bergraduasi. Kebimbangan itu terjadi kerana saya
mendengar dan memerhatikan beberapa sahabat dahulu yang sangat aktif dengan hal
ehwal kemasyarakatan ketika di kampus ,namun sudah sepi setelah keluar dari institusi
pengajian dan mempunyai kerjaya.Puncanya?
Alhamdulillah,saya bersyukur dipertemukan
Tuhan dengan insan-insan yang baik ketika berada di Selatan Tanah Air.Dan ini mengingatkan saya kepada
kata-kata Dr Samsul bahawa penting mempunyai networking yang baik. Terima kasih Tuhan.
Barisan mantan dan CC Fasiteam |
Sesi petang ialah perkongsian
pengalaman bersama mantan Chief Coordinator fasiteam yang banyak berjasa kepada
perkembangan penubuhan Fasiteam sehingga kini. Dan mereka ini masih bergiat
aktif dalam kerja lapangan.Awesom sungguh !
.............................................................................................
Saya pulang pagi itu dihantar
sahabat ke perhentian. Pertanyaan saya terjawab,kesesakan bandar Kuantan pagi ini disebabkan
pesta Jom Heboh. Rindu saya terubat walau kehadiran saya di sini sekejap cuma. Dan pulangnya saya ke selatan tanah air membawa semangat dari orang-orang
sakti untuk terus istiqomah mewakafkan diri untuk ummah! Terima kasih Tuhan.
********************
“Gelaran
mahasiswa bukan sekadar gelaran. Di dalamnya tersembunyi NILAI AKAL YANG TINGGI
dan NILAI BUDI YANG INSANI. Dengan akal yang tajam mereka dapat menilai
menggunakan HIKMAH dan dengan lidah yang
MAHIR mereka dapat BERBICARA BAHASA UMMAH” ~ Madam Martinelli Hashim