Friday, July 26, 2013

Bicara Ramadhan




Untuk kesekian kalinya kita bersama-sama dalam iftar jama’iyy yang diisi dengan sedikit tazkirah mengenai kebesaran Ramadhan, memaknai Ramadhan sebagai satu proses tarbiyyah bagi kader gerakan Islam yang tentu saja menyikapi Ramadhan secara yang sangat istimewa; tidak seperti orang awam menyikapi Ramadhan. Seperti yang sama-sama kita maklumi, Ramadhan juga disebut ‘syahrul Quran’ – bulan Quran – bulan yang mana kita akrab dengan al Quran – yang Tuhan menyebut tentang golongan yang akrab dengan al-Quran itu dalam ayat 79 Surah Ali Imran,

A079 

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.  
 
Mempelajari dan memasyarakatkan al Quran, itulah kerja kaum rabbaniyyin. Siapa pula rabbaniyyin ini – datangnya dari istilah rabbaniyy yang mengakar dalam surah ini, dan ditafsirkan oleh al-Ghazali sebagai manusia yang dekat dengan Allah – qariban; yang dulu-dulu ketika kita masih muda – kita menggunakan ungkapan “al-jilul rabbaniyyul multazim – generasi rabbaniyy yang komited – manusia rabbaniyy yang akrab dengan Allah – melakukan taqarrub atau menghampirkan diri dengan Allah – dan kedekatan tersebut mencapai martabat rabbaniyy dengan erti dekat dengan Allah – iaitu manusia yang mencitrakan dirinya dengan sifat-sifat Allah, sejauh yang tercapai sesuai dengan sifat keinsanannya.

Asma-ulhusna bukan sekadar sebuah nasyid, tetapi mengandungi nilai-nilai yang harus dihayati oleh kehidupan insani – dalam erti dekat dengan Allah – manusia yang menghayati sifat ketuhanan dalam batas dan kudrat keinsananannya. Itulah yang dimaksudkan berakhlak dengan akhlak Allah – dan akhlak Allah itu ialah nama-namaNya seperti yang tersenarai dalam asma-ulhusna itu. Apabila disebut bahawa akhlak Ar-Rasul junjungan kita adalah al-Quran bererti Rasulullah s.a.w. itu adalah Quran hidup – di mana penghayatan sifat-sifat keindahan Allah itu pada dirinya – kerana tidak ada halaman al-Quran yang tidak ada nama Allah – malah kadang-kadang dalam satu ayat disebut berkali-kali nama Allah – yang paling banyak nama Allah ialah ayat kursi. Jadi apabila ar-Rasul s.a.w berakhlak dengan akhlak al-Quran, antaranya bermaksud menghayati nama-nama Allah yang disebut dalam al- Quran itu. Biasanya al-Quran apabila menyebut sesuatu tema, ayat itu akan menyimpul dengan misalnya “innahualimunhakim” – yakni dikunci dengan nama-nama Allah yang harus dihayati dalam batas kemanusiaan –menjadi manusia rabbaniyy dan sekaligus manusia Qur’aniyy. 

Demikianlah asmaulhusna sebagai sumber nilai pembentukan manusia peribadi rabbaniyy – makhluk yang mencerminkan fitrah ketuhanan – image of God – menyebut Tuhan menciptakan Adam menurut imejnya. Pada diri manusia itu ada imej ketuhanan, apabila dia menghayati sifat-sifat Tuhan dalam batas kemanusiaan. Apakah boleh demikian? Nabi diterangkan begitu – misalnya dalam Surah at-Tawbah ayat 128, “Sungguh, telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan yang kamu alami, (dia) sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang yang beriman,”(Ra-u-funRahim), jelas-jelas Ra-u-fun Rahim itu nama Tuhan, tetapi yang memakainya dalam ayat ini ialah Rasul, ertinya Tuhan mengiktiraf Ar-rasul telah menghayati sifat Rauf dan Rahim dalam batas kemanusiaan. Itulah manusia sebagai pembawa the image of God, citra ketuhanan. Para ulama Islam ketika membahas persoalan ini, seperti Qadhi Abu Bakar ibnu Arabiyy – ketika beliau menyebut tentang manusia sebagai makhluk “ahsanitaqwim” – sebaikbaik kejadian – ketika mengupas maksud tafsiran manusia itu adalah sebaik-baik kejadian – katanya, manusia itu sejatinya mempunyai sifat mendengar, berkata-kata, berilmu, bijaksana dsbnya, dan bahawa semua ini adalah sifat-sifat Tuhan yang dikurniakan kepada manusia dalam batas kemanusiaannya. Itulah maksud Allah menciptakan Adam menurut imejnya.

Demikian juga seperti disebut oleh Abdul Karim Jili dalam kitabnya, bahawa sifat-sifat Allah swt seperti hayyan, samian, basiran, qadiran – dihujungnya disebut , “demikian jugalah insan – manusia ini dalam batas kemanusiaan adalah pembawa citra ketuhanan. Oleh yang demikian, jangan kita mentertawakan nama-nama Jawa seperti Basiran, Samian, Qadiran, sebab walaupun Samian itu misalnya, nama tuhan, tetapi manusia juga harus punya sifat itu dalam batas kemanusiaan. Sekarang baru tahu kenapa orang Jawa suka nama-nama seperti itu; selama ini kita berdosa mentertawakan mereka.

Saya angkat persoalan ini dalam konteks memahami al-Quran sebagai kekuatan transformatif yang menakjubkan, dan ini sangat relevan ketika berlaku dehumanisasi yang berleluasa, yang menurut bahasa al-Qurannya ialah asfalasa filin – thumma radadnahu asfalasa filin- kemudian kami jadikan dia di kalangan makhluk bawahan – yang menurut bahasa sosiologinya ialah dehumanisasi – penghakisan nilai-nilai kemanusiaan hingga manusia hilang sifat kemanusiannya – hilang citra ketuhanan pada dirinya maka jadilah ia asfalasafilin – inilah fenomena yang kita hadapi sekarang iaitu berleluasanya dehumanisasi – asfalafilin – dan dalam konteks ini bagaimana al-Qur’an boleh dimanfatkan sebagai kekuatan transformatif, iaitu kekuatan perobah – melihat daya robah al-Quran dalam mencipta manusia baru “a transformed-man”. Selalu orang membicarakan i’jaz al-Qur’an – kemukjizatan al-Quran dalam bidang bahasa, sains, perubatan tetapi yang jarang dibicarakan ialah mukjizat daya robah al-Quran; bagaimana al-Quran itu punya daya robah yang menakjubkan sehingga tiada manusia yang sekeras manapun yang tidak dihancurluluhkan oleh al-Qur’an. Kalau gunung yang pejal itu boleh runtuh dan luluh andainya al-Qur’an diturunkan kepadanya, apalah hati manusia.

A021

“Sekiranya kami turun al-Quran itu kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah kerana takut kepada Allah.”(al-Hasyr: 21) – batu sepejal batu gunung boleh pecah, apalah hati manusia.

Dalam peristiwa pengislaman Umar al-Khattab – setelah beliau membaca surah Ta-Ha, berlaku perobahan yang sangat dramatic. Selama ini Umar adalah musuh Islam yang paling ketat, permusuhannya itu dahsyat sekali – dan public opinion mengatakan tidak mungkin orang seperti Umar masuk Islam; malah kata mereka kaldai al-Khattab itu lebih mungkin masuk Islam daripada Umar. Ertinya, Umar akan masuk Islam kalau himarnya masuk Islam lebih dahulu – pandangan umum ketika public masih punya opinion. Tetapi i’jaztaghyir menafikan apa yang dipercayai oleh public opinion tersebut setelah Umar masuk Islam hanya dengan membaca beberapa ayat dari surah Ta-Ha – ayat yang meluluhkan hati Umar yang keras. Oleh yang demikian, selepas ini janganlah siapa-siapa cakap orang ini atau orang itu keras, kerana tidak mungkin dia lebih keras daripada Umar; janganlah cepat menyumpah orang sampai tujuh keturunan.

Untuk merealisasikan al-Qur’an sebagai mukjizat daya robah itu, kita harus menyikapi al-Quran dengan betul. Kalau sikap kita terhadap al-Qur’an tidak tepat, tidak mungkin kita dapat sesuatu yang bererti dari al-Qur’an. Orang dulu baca al-Qur’an; orang sekarang juga baca al-Qur’an; tetapi kenapa kesannya berbeza? Inilah fenomena yang disebut oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali bahawa generasi silam apabila mereka baca al-Qur’an, mereka ikut terangkat mencapai benchmark al-Qur’an, yakni mereka berusaha untuk mencapai standard al-Quran. Tetapi apabila kita membaca al-Qur’an, kita tidak melonjak mencapai standard al-Quran – bahkan sebaliknya kita perturun, merendahkan standard al-Qur’an itu
sama dengan kita. Bukan kita yang naik,tetapi al-Qur’an yang diturunkan. Bila disebutkan ayat-ayat tentang sifat orang beriman, bahawa untuk mereka disediakan syurga (seperti Surah Ali-Imran ayat 133 “Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa) kita hendaklah sedar bahawa kita masih sangat jauh dari memenuhi tuntutan ayat itu. Kita harus berusaha mencapai standard al- Qur’an yang tinggi, bukan merendahkannya, atau membawa al-Qur’an itu turun serendah tahap kita.


Orang dulu membaca al-Qur’an lebih banyak dari kita, tetapi kadang-kadang tidak pula mesti banyak; ada ketikanya mereka baca tidak banyak, sebatas beberapa ayat saja. Kalau kebetulan ketika itu, dia melintasi ayat yang dirasakan sangat touching, dan apabila dia menemukan ayat seperti itu, dia akan ulang, bahkan sampai semalaman; terpaku pada ayat yang sama dan tidak bergerak ke ayat yang lain. Itulah yang terjadi dalam pengalaman Khalifah Arrasyidin kelima – Umar Abdul Aziz yang terkenal dengan keakrabannya dengan al-Qur’an. Dia ‘amirulmukminin,seorang yang sangat sibuk, tidak seperti kita yang pura-pura sibuk sehingga tak sempat iftar jama’iyy. Umar Abdul Aziz, pentadbir yang sangat sibuk, tetapi dalam kesibukan itu, dia tak pernah dalam sehari tanpa membaca al-Qur’an. Pada hari yang paling sibuk, dia baca satu atau dua ayat (kalau tidak, dia baca satu surah atau dua surah), kemudian dia menyatakan, “Mudah-mudahan dengan menyempatkan diri membaca satu atau dua ayat ini, aku terkeluar dari golongan yang meninggalkan al-Qur’an. Ayat ini diambil dari al-Qur’an, kata-kata yang diucapkan ini, ialah apabila Nabi s.a.w. mengadu kepada Allah swt, “Bahawa sebahagian kaumku telah meninggalkan al-Qur’an.” Bagaimana kalau yang diadukan oleh Rasulullah s.a.w itu adalah kita, tak terfikirkah kita bahawa kemungkinan kita yang diadukan oleh Rasulullah itu kepada Tuhan – bahawa umatnya telah meninggalkan al-Qur’an. – Beliau sangat terkesan dengan ayat ini dan itulah yang membentuk sikapnya, terkesan dengan al-Qur’an sedang kita hanya tilawah dan tadabbur dan tahfiz tetapi kurang dalam aspek terkesan dengan al-Qur’an. Membaca al-Qur’an tak susah, terutamanya dalam tadarus orang Melayu yang dengan mudah saja khatam, apakah dia benar-benar khatam, tetapi daripada tidur tak tentu fasal, bacalah al-Qur’an. (Mentang-mentanglah apabila dikatakan bahawa orang yang berpuasa itu, tidurnya pun dikira ibadat, maka itu sajalah yang diambil buat pegangan.) Menghafal al-Qur’an pun tak susah sangat – yang susah itu mempertahankan hafalan tersebut, itu yang susah. Saya tak percaya setiap orang yang dipanggil al-hafiz itu betul-betul hafiz; kalau tak ada disiplin, tengok raja lawak. Seorang hafiz kena disiplin, kalau dia kompromikan, habislah hafalannya. 

Itulah yang terkesan pada diri Umar Abdul Aziz. Tetapi, untuk beliau bukan hanya ayat itu. Satu kali dia membaca tentang senario hari akhirat di mana Tuhan memerintahkan malaikat untuk menghimpunkan orang-orang zalim; dia merasa seolah-olah seperti dia yang dihimpunkan dalam senarai orang zalim itu, dan bukan saja orang-orang zalim itu, tetapi juga isteri-isteri mereka. Kenapa isteri juga dilibatkan? Ini kerana sebahagian daripada keputusan zalim itu datangnya dari isteri; ada orang jadi zalim kerana ikut cakap bini, banyak juga orang takut sama bini sampai ada pantun Melayu – “apa guna keris tersilang, kalau takut sama bini.”

Umar Abdul Aziz membaca ayat ini, dan merasa seperti dia yang dimaksudkan oleh ayat tersebut. Dia merasa takut dan sepanjang malam itu disitulah matanya tertumpu dan tak beralih ke ayat lain. Dia hanya sedar apabila muazzin melaungkan azan subuh. Membaca al-Qur’an tak semestinya banyak, tetapi mereka terkesan dengan al-Qur’an. Satu lagi contoh tentang terkesan dengan al-Qur’an ini ialah kisah Asma binti Abi Bakar – kepada kaum ibu ingin saya hadiahkan sebuah kisah tentang Asma. Satu hari ketika dia membaca al-Qur’an, dia bertemu dengan ayat 25-27 Surah 52: At-Tur.

A026A025A027 

Ketika Asma membaca ayat ini, dia sangat terkesan kerana ayat ini menyebut nanti disyurga, penduduk syurga apabila bertemu, mereka berhadapan satu sama lain dan bertanya (ayat 25) – macam mana kamu boleh masuk syurga ini – mungkin ada yang tak disangka-sangka, sebab di dunia juga banyak benda yang kita tak sangka berlaku seperti teman kita jadi ful lprofessor; compared to last time when he was a fool – al-Qur’an membayangkan bahawa warga syurga saling bertanya, “Apa yang kau kerjakan di dunia dulu sehingga kau layak masuk syurga.” Maka jawapannya mungkin, “Kami rajin usrah dulu, kami usrah selama 40 tahun, itukah? atau setiap Ramadhan kami mendermakan sekampit beras berbanding dengan orang lain yang menyumbang 10 kampit pada waktu pilihanraya secara tak ikhlas – tentu tak sama antara keduanya – mereka memberi jawapan seragam, “ Bahawa dulu kami ketika masih di dunia, ketika masih bersama keluarga, kami merasa sangat takut diazab,” takut dengan perkara-perkara seperti penyelewengan, kejahatan, kemungkaran, kami takut bukan takut yang dibuatbuat, tetapi betul-betul takut (ayat 26). Itulah, bila sampai ayat ini Asma tak beranjak ke ayat lain – dia baca lalu berdoa – berkali-kali – “maka Allah memberikan kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka” (ayat 27). Ketika itu dia didatangi oleh seorang tetamu. Lama dan letih sekali tamu itu menunggu hingga Asma selesai, namun tidak kunjung selesai juga, maka dia mengambil keputusan untuk melaksanakan urusan lain dulu – ke pasar, selesai urusan akan mengunjungi Asma semula. Urusan di pasar tentu saja lama dan bagi orang lelaki, yang paling tidak sabar ialah menemani isteri ke pasar; bayangkan kalau dia ada 3 isteri dan semuanya meminta ditemani ke pasar; tak sama dengan urusan mengundi yang sekejap saja, tak sama dengan mencuci dakwat kekal. Selesai urusan di pasar, dia pulang dan singgah sekali lagi di rumah Asma; ketika dia sampai sesudah sekian lama di pasar, Asma masih seperti tadi, masih di ayat itu, masih berdoa seperti tadi. Itulah Asma – cara Asma membaca al-Qur’an – atta-thurbilQuran – membaca hingga terkesan sampai berjam-jam, terpaku pada satu ayat, dua ayat.

Satu lagi di kalangan tabi’in, seorang yang bernama al-Ahnaf bin al-Qais, yang merasa sangat excited apabila membaca ayat 10, Surah al-Anbiya’, “Sungguh telah Kami turunkan al-Qur’an yang di dalamnya terdapat pemerian tentang kamu, maka apakah kamu tidak mengerti?” Kata kunci di sini ialah dalam kitab itu ada sebutan tentang kamu – (you are mentioned in the Qur’an) – siapa yang tak excited, padahal kalau masuk gambar sipi-sipi dalam surat khabar pun sudah meluru mencari– apatah lagi dalam al- Qur’an, bahawa kamu disebut dalam al-Qur’an, iaitu sifat dan ciri pelbagai golongan di kalangan manusia, telah menggerakkan al-Ahnaf untuk mencari dirinya dalam al-Qur’an – kamu disebut, tetapi tak tahu di mana, mendorong dia mencari dirinya dalam al-Qur’an – di mana aku – dari ayat ke ayat, dari surah ke surah. Di Surah An-Nisa’ ayat 145 “Sungguh, orang munafiq itu ditempatkan di tingkat paling bawah dalam neraka,” spontan katanya itu bukan aku. Dia yakin – Aku tak seburuk itu, tak sejahat itu. Setelah itu dilanjutkan perjalannya mencari diri hingga ke surah al-Anfal ayat 2, “Sesungguhnya orang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah kuat imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal,” dia dengan rasa sedih dan kesal berkata itu juga bukan aku – aku tak layak masuk golongan itu.

Pencariannya diteruskan sehingga bertemu Surah at-Tawbah ayat 102,

A102

“Dan ada pula orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampur pekerjaan baik dan buruk, semoga Allah menerima taubat mereka..” – matanya terpaku pada ayat tersebut – mengamati kata demi kata dan al-Ahnaf yakin dia telah menemui dirinya pada ayat itu – segolongan orang yang mengaku dosa-dosanya dan mencampurkan amal salih dengan amal yang buruk – ibadat dia buat, tetapi kejahatan dia tak tinggal juga, sekampit beras dia beri, tetapi duit kopi dia ambil juga. Bukan rasuah katanya, padahal keduanya serupa. Buat baik juga, tetapi kejahatan dan kemungkaran dia buat juga. Itulah aku. Dia menemui dirinya… “Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”

Kalau anda yang mencari diri, anda menemui diri di mana? Barangkali di sini juga – usrah juga tetapi mengata orang tak ada reserve. Sebagai penutup marilah kita memberikan perhatian kepada al-Qur’an – kerana percayalah bahawa sebanyak mana perhatian kita kepada al-Quran, sebanyak itulah al-Qur’an akan membuka rahsianya kepada kita. Kefahaman terhadap al-Qur’an ituakan kita peroleh sejauh perhatian yang kita berikan kepadanya; kalau tiada perhatian, tak akan bertambah kefahaman kita sampai bila-bila. Rahsia al- Qur’an itu dicurahkan apabila dibaca selepas waktu tengah malam, lebih banyak rahsia itu di revealed waktu malam berbanding siang, khususnya malam Ramadhan seperti yang kita jalani sekarang.

Terima kasih di atas perhatian saudara-saudara.
 
oleh Dato Dr Siddiq Fadzil
sempena Iftar Jama’iyy
20hb Julai 2013 di Kompleks Dar al Hikmah.
(Catatan oleh Hj Mohd Asri Abdul, Pengerusi Wadah Wilayah Persekutuan)




Sunday, June 23, 2013

Dukhaan

Sudah seminggu bumi Johor dalam berduka. Setiap kali fajar berlabuh, 'salji kecil' putih menutupi lantai bumi. Sekali di tiup dan dihentak, maka bertebaranlah ia membawa haluan sendiri.

Hari ini, angin semilir membawa jerebu melitupi pantai barat. Belum ada tanda-tanda akan surut.Bahkan Muar diisytihar darurat dengan paras yang sangat berbahaya. Innalillah wainna ilaihi rojiun.

Ada petanda yang Allah mahu  tunjukkan.Ujian bagi orang-orang yang beriman. Peringatan bagi sesiapa yang ingin mengambil pelajaran. Semuanya telah Allah nukilkan dalam qalamNya dalam Surah al-Dukhaan
( Asap)

44:10
 Maksudnya: Maka tunggulah hari ketika langit membawa asap (kabus) yang nyata.

******************************

Ya badrotim.

Maha Suci Allah!. cantik percaturan Tuhan. Allah datangkan malam yang berkat (nisfu sya'ban) untuk memberi keampunan kepada hamba-hambaNya.

 “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) "(Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani menilai sahih dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah 3/135).

Bahkan malam yang berkat termaktub indah dalam surah yang sama, al-Dukhaan. Masha Allah!


44:3

Maksudnya :Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan pada suatu malam yang diberkati, sesungguhnya kamilah yang memberi peringatan

Subhanallahi wabihamdihi, Subhanallah Al- Azim



"Tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan semua ini sia-sia, Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada Api Neraka" [Âl 'Imrân 3:191]





Tuesday, June 18, 2013

qalam tausiyah



Sudah lama pengajian talaqqi ditinggalkan. Rindu butir bicara para masyaikh. Rindu berdamping dengan ulama dan ahli bait.Rindu melantun qalam qasidah bersama-sama.Jiwa rabbaniy harus diberus cuci.Karat-karat dosa harus digilap bersih.

Talaqqi.

Satu juzuk dari sunnah Nabi SAW bilamana Rasulullah menerima wahyu dari Jibril, dan menghafal wahyu tersebut terus dari Jibril.
 
Talaqqi.

penyampaian dalam bentuk bilmusyawarah.dari lisan guru kepada anak muridnya.
Harus berdepan.

Kaedah pengajian sebegini diteruskan sehingga ke hari ini kerana pengaliran ilmu dan pecerahan kitab ulama' yang muktabar disampaikan secara bersanad (dari guru ke guru) sekaligus memelihara keaslian ilmu dan makna penulis kitab tersebut.

Allah.terima kasih atas peluang semalam.

Diakhir pengajian mata kami basah. Terasa 3 jam yang dipinjamkan terlalu pendek.Doa dan  selawat diiringi hujan rahmat melepas pergi ulama agung ini. Entah kapan lagi kami akan bertemu dengan ahli bait ini.Entah kapan lagi kumahu menumpang barakah.Barangkali jika tidak di dunia, harapan menggunung beliau memimpin kami ke jalan syurga.Ameen.
Fadhilatu Sheikh Ahmad Muhammad Said Al Husni Al Azhari




Beliau ahli bait.Berketurunan Hasan cucunda Rasulullah SAW.Butir bicaranya teratur.Mendamaikan bagi jiwa yang melihatnya.Pesan Rasulullah SAW, dari Anas b Malik, barangsiapa menyakiti keduanya ini dan keturunannya (ditujukan pada Hasan dan Husin),beerti dia menyakiti aku.

Jangan lupa, 3 golongan yang dapat memberi syafaat diakhirat kelak.pertama al anbia.kedua al-ulama’ dan ketiga,al syuhada’. Maka cintailah ahli bait.

Saya rasa terlalu kerdil.Memandang keliling yang mengangguk faham.Gagau mencerna bahasa syurga ini.Allah malunya.Jauhilah kami dari kejahilan.Jahil muraqqam?nauzubillahiminzalik..

Malu sendirian. Sudah lama tidak memperbaharui bahasa syurga. Berhabuk.

Lantaran, terpukul dengan pesanan beliau. Innama ilmu biltaallum…tuntutlah ilmu dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Berapa ramai boleh mencontohi Imam Al Nawawi. Hartanya ialah 2 helai pakaian. Satu untuk musim sejuk.satu musim panas.Berbekal keihklasan hadis arbain menenggelamkan kitab hadis yang lain.Lalu tertanya diri ini bagaimana?

Allah masih memberi secebis kefahaman.Alhamdulillah.Moga Allah ampunkan saya.

Ilmu. Amal. Mujahadah. Sabar.ikhlas.

Jaulah ulama warasatul anbia dari satu negeri ke satu negeri hanya kerana ingin berguru sebuah hadis.Mujahadah. Sabar. Ikhlas.

Jaulah saya dari timur ke selatan jua hanya kerana secebis ilmu. Itupun masih ada keluhan kecil tika kalah dalam mujahadah.Dipermulaan, pertengahan dan pengakhiran sentiasa perlu pada tajdid nawaitu. Mujahadah.Sabar.Ikhlas.

Hari ini, Allah mempertemukan dengan seorang hamba.Tiada dapat digambarkan dengan kata-kata.kagum.dia bukan siapa-siapa,Bukan jua ulama'.Jaulah beliau dari satu negeri ke satu negeri juga kerana secebis ilmu.Tiada satu pun keluhan kecil keluar dari halkumnya.Riak wajahnya tenang.Alangkah malunya saya.Pesanan masyaikh semalam, ada pada dirinya.

Terima kasih Allah atas percaturan hidup ini.Alhamdulillah thumma Alhamdulillah

Watashino namaewa Kensuka desu.Arigato Ken!

*******************
Al ilmu bila ‘amalin kashyajarin bila samarin.


Monday, June 10, 2013

Assalamualaikum


Haven’t been on for awhile, for various reasons -but back Alhamdulillah! Ramadan is returning! May we live long enough for our first iftaar in the blessed month after a year! Ameen


Saturday, June 1, 2013

Ahlan!


Baitul muslim adalah soal dua orang individu muslim yang bersatu di bawah satu bumbung dan bersama membina matlamat yang tidak terhenti meskipun salah seorang dari mereka terlebih dahulu dijemput Ilahi.

Rugilah kalau matlamat yang saling dituju hanya sekadar mengelilingi dunia untuk berbulan madu, kerana jika mati salah seorang maka matlamat itu pun akan terkubur. Begitu juga kalau matlamat untuk menjadi satu-satunya isteri kepada suami, kerana jika ditakdirkan poligami maka punahlah matlamat tersebut. Sama jugalah kalau matlamat untuk memiliki harta dan menjadi kaya raya, kerana jika takdirnya muflis maka rumahtangga terabai entah ke mana.

Jangan pandang pernikahan itu sebagai matlamat hidup, sebaliknya pandanglah pernikahan itu sebagai satu wasilah utk mencapai matlamat hidup. Matlamat hidup kita adalah redha Allah, justeru seluruh hidup kita akan berpaksikan ibadah kepadaNya. Dan pernikahan itu, salah satu daripada cabang ibadah :)


Sungguh baitul muslim itu suatu pelajaran. Makin belajar, makin terasa kejahilannya.

**********************


Akan ada satu ketika dalam kehidupan berumahtangga, suami atau isteri akan memandang kepada pasangannya sambil hati kecil mereka berbisik : Ya Allah, kini aku tahu kenapa Engkau takdirkan insan ini untuk berada di sebelahku.
 
Takdir Allah itu, terselit sejuta hikmah bukan :)

Barakallahulakuma wabaraka 'alaikuma, wajama'a bainakuma fil khair..

Nadhirah, selamat melayari bahtera rumahtangga.Semoga menjadi isteri yang solehah. 

Ahlan wasahlan ya Muhammad fi usratina.Jaga Nadhirah elok-elok..

Kalian, teruskan menuai cinta hingga ke syurga kerana Allah.. 

Haru! insiden tertukar isteri berlaku jugak akhirnya..ish ish ish...Nampaknya saya perlu lebih berhati-hati selepas ini.huhu.

Senyum :)

Tuesday, May 21, 2013

Selamat Hari Guru, Cikgu!



Setiap kali sambutan hari guru,Ustazah Suryani adalah orang pertama yang terlintas diminda saya. Rasanya tidak lengkap sambutan hari guru jika tidak menyampaikan ucapan penghargaan pada beliau. Saya begitu mengkagumi sosok peribadi dan tunjuk ajar beliau, dan kerana itulah kecintaan saya pada bahasa Arab tinggi sehingga kini tidak pernah pudar. Bahkan saya merindui memperbaharui bahasa syurga ini.  Penekanan nilai dan matlamat hidup ketika dibangku menengah, banyak mencorakkan perjalanan hidup saya sekarang. Pendedahan pada usrah (walau hakikatnya saya tidak mengerti ketika itu), penekanan pada kepentingan mathurat , zikir dan solat jemaah, ‘paksaan’ menyertai musabaqah hafazan dan tarannum al Quran, dan nasihat-nasihat yang baik banyak mempengaruhi watak dan sikap saya. Khabarnya, sejak Ustazah Suryani dipindahkan ke sekolah baharu, SMA Maarif sudah hilang taringnya, lebih lebih lagi pengawasan disiplin asrama yang semakin longgar.

Maka hari ini, dengan izin-Nya saya turut merasai nikmat menjadi guru. Kadangkala cuba-cuba meniru perwatakan Ustazah Suryani. Profesion ini diisi dicelah ruang kesibukan menyiapkan pengajian dek kerana kerinduan kepada program berbentuk kebaktian sejak di alam kampus, apalagi melibatkan kanak-kanak. Keletah anak murid yang mencuit hati dan adakalanya menuntut kesabaran dan pertanyaan-pertanyaan yang diluar jangkaan telah menjentik semangat untuk mengorak langkah lebih jauh dalam menggapai profesion sebagai pendidik bangsa. 

Profesion perguruan adalah sangat mulia dalam Islam. Hakikatnya, guru bukan hanya berperanan sebagai medium penyalur ilmu dan mendidik akal pelajar, bahkan lebih penting daripada itu melahirkan generasi berakhlak, bepekerti mulia, berperibadi mulia dan bertamadun. Profesion ini juga menjadi salah satu bonus sebagai wasilah untuk beramal selaras dengan hadis berikut:

“ Apabila mati seorang insan, maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak yang soleh”
(Diriwayatkan oleh Abu Hurairah)

Saya tertarik dengan saranan seorang penulis dalam artikel yang bertajuk "Mantapkan Profesion perguruan dengan Hayati Prinsip Hisbah". Barangkali artikel ini ditulis atas kesedaran senario yang berlaku kini apabila profesion perguruan kian tercalar dengan pelbagai insiden memalukan yang terpampang di media. kalau dahulu salah laku pelajar sering dibicarakan, namun kini guru pula seolah-olah mengambil tempat dengan kesalahan dan perlakuan yang menjatuhkan kredibiliti perguruan. 

Hisbah bermaksud tindakan pengawasan yang disyariatkan Allah swt menerusi seruan amal ma'ruf dan nahi munkar. Konsep hisbah lahir dari  fahaman rasa tanggungjawab kejujuran dan keadilan individu. Prinsip ini bermula dengan pengawasan dalaman yang dikenali sebagai muhasabah al-nafs. Pengawasan dalaman terhadap diri sendiri yang timbul daripada kesedaran bahawa Allah swt sentiasa mengawasi setiap pergerakan manusia dan segala amalan diperhitungkan dan dibalas diakhirat kelak. Dengan penghayatan berterusan terhadap prinsip ini, etika ini secara tidak langsung dapat menerapkan sifat takwa. Pengawasan luaran adalah komponen terdiri daripada masyarakat dan institusi rasmi daripada jentera kerajaan. Pengawasan ini bertindak secara praktikal kerana ia melibatkan pemerhatian dan pengawasan rasmi. Kedua-dua pengawasan ini menjamin keadilan dan melengkapi antara bentuk pengawasan dalaman dan luaran.

Aplikasi muhasabah al nafs sangat disarankan supaya dapat mendisiplinkan diri terlebih dahulu sebelum melaksanakan pengawasan terhadap masyarakat. Tingkatan muhasabah al nafs terdiri daripada 6 tahap iaitu musyaratah (keazaman melalui ikatan hidup), muraqabah (berwaspada dengan penyakit rohani), mu'aqabah (penilaian terhadap usaha dilakukan), mujahadah (berjuang bersungguh-sungguh dijalan Allah tanpa rasa gentar kerana mengharap redha Allah) dan mu'atabah (proses mengkritik diri sehingga melahirkan kekesalan terhadap kesalahan dilakukan). 

Muhasabah adalah kunci utama kepada proses perjalanan dan pembaharuan kerohanian diri. Tahap musyaratah dan muraqabah pula adalah langkah persediaan diri, seterusnya tahap mu'aqabah dan mu'atabah berperanan sebagai langkah penilaian dan pemurnian diri. Akhirnya, mujahadah adalah cerminan kegigihan seseorang untuk terus berusaha memupuk pembinaan ke atas muhasabah al-nafs.

kesimpulannya, jika prinsip hisbah ini dapat dihayati dan diterapkan secara istiqamah dalam diri setiap guru, insha Allah mereka akan ikhlas menyampaikan ilmu dan berusaha untuk tidak terbabit dalam salah laku yang boleh mencemarkan imej profesion perguruan. Guru mestilah mencerminkan dalam dirinya keselarasan, keseimbangan dan keharmonian ilmu dan amal agar menjadi pendidik yang berkualiti.

***********************************

"We all grew up with A is for Apples, but sometimes we forget to instill in our children that A is for Allah (swt) and everything starts with Him"